ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang pengarah sebuah agensi penguat kuasa di sebuah negeri kerana disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu.
Suspek berusia lingkungan 40-an dipercayai bersekongkol dengan empat suspek yang ditahan semalam kerana membuat tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi kerja-kerja penyelenggaraan kapal bernilai RM1.18 juta.
“Suspek ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam di Pejabat SPRM Kedah ketika hadir untuk memberikan keterangan,” kata sumber di sini, hari ini.
Susulan itu, perintah reman selama satu hari bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Siti Noor Hasliza Md. Ali ke atas suspek di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi ini.
Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Semalam, empat individu berusia sekitar 30-an dan 40-an termasuk seorang pemilik syarikat dan seorang timbalan pengarah logistik agensi penguat kuasa ditahan SPRM membabitkan kes terbabit.
Turut direman selama enam hari sehingga 31 Mac adalah seorang peniaga dan seorang ketua pusat servis yang bersubahat dalam kegiatan itu yang dilakukan antara Julai hingga November 2020. -UTUSAN










