Penduduk Felda Tenang kurangkan aktiviti luar rumah - Utusan Malaysia

Penduduk Felda Tenang kurangkan aktiviti luar rumah

BEBERAPA penduduk menutup kepala menggunakan kain dan berpayung ketika pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat Zohor di Masjid Felda Tenang, di Hulu Besut, Besut, hari ini. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Penduduk di Felda Tenang, Besut terpaksa mengurangkan aktiviti luar rumah susulan cuaca panas sehingga suhunya mencecah 35.3 darjah Celcius sejak semalam.

Mohd. Razi Daud, 62, berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan terkena strok haba serta demam ekoran keadaan cuaca panas yang melampau.

“Keadaan cuaca panas sekarang dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan ditambah pula di bulan puasa ini kita kurang minum air.

“Keadaan itu menyebabkan badan cepat letih dan dahaga berbanding kebiasaannya, oleh itu saya memilih untuk mengurangkan aktiviti luar rumah,” katanya ketika ditemui di Felda Tenang di sini, hari ini.

Sementara itu, Ramli Mokhtar, 64, berkata, aktiviti di kebun turut dihadkan beberapa jam sahaja sehari.

“Selalunya saya akan buat kerja-kerja membersih kawasan kebun atau sebagainya bermula dari pukul 8 pagi sehingga waktu Zohor tetapi cuaca panas sekarang ini, pukul 10 atau 11 pagi pun dah balik ke rumah.

“Selain itu boleh katakan kipas angin dan penghawa dingin dipasang hampir 24 jam bagi mengurangkan haba panas ketika berada di rumah,” katanya.

Menurut Ahmad Syukri Abdullah, 40, pula, cuaca panas itu bukan hanya menjejaskan aktiviti orang dewasa malah juga dirasai golongan kanak-kanak.

Katanya, kebanyakkan murid sekolah akan terus pulang ke rumah selesai waktu persekolahan dan tidak seperti kebiasaan bermain di sekitar kawasan Felda.

“Sekarang ini cuaca panas menjadi bualan di setiap pelusuk kampung dan orang ramai mengambil langkah sewajarnya apabila berita-berita berkaitan cuaca panas sering di war-warkan di kaca televisyen mahupun media sosial,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Stesen Pencerapan Automatik di Felda Tenang, Besut merekodkan suhu tertinggi berbanding kawasan lain di Terengganu.

Pengarah Jabatan Meteorlogi Malaysia ( MET) Terengganu, Rosli Zakaria berkata Felda Tenang merekodkan suhu setinggi 35.3 darjah Celcius berbanding 32 darjah Celcius di lain-lain kawasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN