Penaja Kedah Darul Aman FC perlu tunai janji

Penaja Kedah Darul Aman FC perlu tunai janji

MUHAMMAD Radhi Mat Din (kiri) bersama Pengarah Eksekutif Mydin Wilayah Utara, Datuk Saduruddin Gulam Hussein membantu seorang kanak-kanak memilih baju raya pada Majlis Iftar Ramadan di Mydin Taman Saga, Alor Setar. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengingatkan para penaja kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) untuk menunaikan segala janji yang dibuat demi hayat pasukan dan kebajikan pemain serta pihak pengurusan kelab itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Muhammad Radhi Mat Din berkata, kekangan yang berlaku termasuk soal pembayaran gaji melibatkan kebanyakan pasukan berlaku disebabkan penaja tidak menunaikan apa yang telah ditawarkan.

“Kita kena pastikan penaja-penaja ini membayar mengikut apa yang dijanjikan sebab kadang kala antara benda yang saya rasa berlaku di kebanyakan pasukan ini penaja tak dapat menunaikan apa yang telah dijanjikan.

“Jadi kadang terpaksa kembali kepada (kerajaan) negeri, kita memang dah ‘terputus’ hubungan (dengan KDA FC) tak ada hubungan sebab bila dibentuk syarikat, syarikat yang terpaksa mengurus

“Macam di Kedah pun, ada keinginan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (membantu) tapi dari sudut hubungan memang kita dah terputus di situ,” katanya pada sidang akhbar Program Iftar Ramadan dan penyampaian sumbangan di sini, semalam.

KDA FC sebelum ini diberi tempoh untuk membuat pembayaran pertama sebanyak 50 peratus sebelum 15 Mac lalu dan penyelesaian penuh pada 29 Mac ini bagi menyelesaikan tunggakan gaji yang berlaku pada musim lalu.

Mengulas lanjut, Muhammad Radhi turut berharap kelab menilai keupayaan kewangan sebelum berbelanja terhadap pasukan termasuk menandatangani pemain.

“Pembelian pemain bergantung kepada dana yang ada. Kadang-kadang kita terikut dengan sesuatu pasukan dan memang mana-mana pasukan pun tak mahu bila diawal musim dalam keadaan pasukan kita dibelasah.

“Mesti ada niat nak perkuat pasukan tapi dalam masa sama kita kena menilai keupayaan masing-masing sebab sejarah berlaku hari ini kadang kita belanja melebihi keupayaan dan akhirnya menyebabkan tak mampu untuk bayar gaji sehingga habis musim,” katanya.

Sementara itu, melihat perkembangan dan persiapan semasa KDA FC, beliau yang juga bekas pemain Kedah era 90-an yakin pasukan itu akan kembali memberi saingan dalam kancah Liga Malaysia.

“Satu yang positif kita nampak apabila pasukan sudah diwujudkan dan mula menjalani latihan, nampak sudah bersedia ditambah dengan kemasukan pemain antaranya Rizal Ghazali dan Syafiq Ahmad yang kembali boleh menguatkan pasukan

“Saya rasa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pun memang mengharap sangat pasukan Kedah masih ada dalam Liga Super kerana kita pasukan yang memeriahkan lagi suasana bola sepak di Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN