GEORGE TOWN : Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) berhubung isu-isu teknikal berkaitan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) tidak lama lagi.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perbincangan itu juga akan berjalan serentak dengan proses-proses lain seperti proses pelaksanaan tender serta pelantikan kontraktor bagi projek tersebut.
“Dengan keputusan awal ini, maka, kita berharap agar MAHB dapat melaksanakan projek ini.
“Namun demikian, pada peringkat ini, MAHB dengan kerajaan negeri akan teruskan perbincangan mengenai pematuhan isu-isu teknikal (dalam projek ini),” katanya selepas merasmikan Kongres Dunia Persatuan Pengiklanan Antarabangsa (IAA) kali ke 45, di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini hari ini.
Seramai 1,000 peserta dari 30 buah negara menghadiri kongres yang pertama kalinya diadakan di Asia Tenggara dan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini itu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keinginannya untuk melihat projek pembesaran LTAPP di Bayan Lepas dipercepatkan kerana keperluan mendesak susulan peningkatan jumlah pelancong ke negeri itu.
Susulan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha pembesaran LTAPP yang menelan kos melebihi RM1 bilion, sudah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada minggu akhir Februari lalu.
Tambah Anthony, MAHB juga akan bertanggungjawab bagi proses tender dan pembiayaan projek berkenaan.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, projek pembesaran LTAPP itu dijangka dimulakan pada suku ketiga pada tahun ini.

“Saya tidak ada maklumat mengenai komponen-komponen projek ini, tapi, saya percaya Exco bertanggungjawab akan bertemu MAHB untuk sesi libat urus berkaitan projek,” katanya.
Ketika ditanya sama ada projek itu akan dipercepatkan selepas menerima maklum balas daripada Perdana Menteri, Kon Yeow berkata, sememangnya beliau berharap agar perkara tersebut dapat direalisasikan susulan keperihatinan Anwar yang turut menggesa agar projek itu dipercepatkan.-UTUSAN










