BUKIT MERTAJAM : Dua pekerja asing cuba melarikan diri dan menyamar sebagai pekerja sebuah motel berhampiran ketika serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang ke atas sebuah stor tidak berlesen yang menyimpan diesel bersubsidi di sini.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, taktik itu bagaimanapun tidak berjaya apabila kedua-dua pekerja lelaki yang berasal dari Bangladesh dan berumur 24 tahun itu akhirnya ditahan untuk membantu siasatan.

Menurut beliau, siasatan mendapati, mereka baru sahaja bekerja di stor tersebut sejak dua bulan lalu dan ditugaskan untuk menjaga serta memantau premis terbabit.
Terdahulu, Jegan memberitahu, pihaknya bertindak menyerbu stor berkenaan selepas hampir dua minggu menjalankan risikan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.
“Ketika serbuan, kami menjumpai sejumlah minyak disyaki diesel dengan anggaran hampir 14,900 liter yang tersimpan di dalam 25 unit tangki IBC di dalam stor tersebut. Turut ditemukan ialah sebuah lori kanvas seberat 5 tan, dua set pam motor beserta hos paip, dua unit telefon bimbit dan lain-lain.
“Nilai rampasan minyak tersebut dianggarkan berjumlah RM 32,035 sekaligus menjadikan nilai anggaran barang rampasan secara keseluruhan berjumlah RM 55,350,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.
Jegan berkata, kes itu kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran diesel termasuklah sumber minyak tersebut diperolehi selain edaran daripada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.
“Berdasarkan siasatan, kita percaya modus operandi sindiket ini ialah dengan menjadikan stor simpanan diesel tidak berlesen ini sebagai pusat pengumpulan minyak tersebut yang diperoleh dari stesen-stesen minyak seluruh Pulau Pinang.
“Kemungkinan besar diesel ini akan dihantar (atau dijual) ke Kedah atau mungkin juga hingga ke sempadan sana (Thailand),” katanya yang menjelaskan, stor tersebut dipercayai mula beroperasi sejak awal tahun ini.
Dalam pada itu, Jegan menggesa orang ramai supaya menjadi ‘mata dan telinga’ bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
Katanya, maklumat atau aduan boleh disalurkan melalui pelbagai cara termasuk menghubungi Bilik Gerakan KPDN Pulau Pinang di talian 04-3840245, melalui portal e-aduan KPDN, emel, aplikasi Whatsapp KPDN dan lain-lain atau datang sendiri ke mana-mana pejabat KPDN yang berdekatan.-UTUSAN










