KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad daripada sembilan pertuduhan membabitkan rasuah.
Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh ketika dihubungi media mengesahkan perkara tersebut.
“Ya, kami telah failkan (notis rayuan),” katanya melalui aplikasi Whatsapp.
Rayuan yang bakal didengar di Mahkamah Persekutuan menjadi peluang terakhir untuk kedua-dua pihak mempertahan kes masing-masing.
Sekiranya pendakwaan berjaya dalam rayuannya, Mohd. Isa boleh dikenakan sabitan dan hukuman semula dan perlu menjalani apa juga hukuman yang dikenakan terhadapnya serta-merta.
Sekiranya gagal, Mohd. Isa boleh menarik nafas lega kerana telah dilepas dan dibebaskan secara keseluruhannya.
Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah sebulat suara melepas dan membebaskan Mohd. Isa daripada kesemua pertuduhan itu.
Panel terbabit berbuat demikian selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkhilaf apabila menerima pakai keterangan saksi pendakwaan ke-21 iaitu Muhammad Zahid Md. Arip yang ketika itu pegawai khas politik Mohd. Isa tanpa disokong oleh bukti-bukti kredibel yang lain.
Dengan keputusan itu, hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi turut diketepikan.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd. Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB), sembilan tahun lalu.
Mohd. Isa didakwa menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan menerusi Muhammad Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada harga RM160 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) ketika membaca penghakimannya menyatakan, modus operandi Mohd. Isa untuk mendapatkan rasuah adalah dengan cara ‘kirim salam.’ – UTUSAN










