Pasang lebih banyak papan tanda amaran lemas di pantai - Utusan Malaysia

Pasang lebih banyak papan tanda amaran lemas di pantai

MAIZURA Abdul Kadir (dua, kanan) menasihatkan pengunjung untuk tidak menghampiri pantai ketika mengadakan pemantauan di Pantai Teluk Lipat, Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN/
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disarankan memasang lebih banyak papan tanda amaran lemas di sepanjang pantai terutamanya lokasi ‘panas’ di daerah ini yang sering menjadi tumpuan pengunjung. 

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, papan tanda larangan serta bendera merah itu penting sebagai panduan dan amaran kepada pengunjung bagi mengelak sebarang tragedi buruk seperti lemas berlaku. 

“Saya akan mengadakan perbincangan dan mencadangkan pihak PBT supaya memasang lebih banyak papan tanda amaran. 

“Pantai di daerah ini memang terkenal dengan keindahannya, namun ada kawasan yang tidak selamat untuk dilakukan aktiviti air,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pemantauan di Pantai Teluk Lipat, di sini, hari ini. 

Maizura berkata, sejak awal Januari sehingga semalam, sebanyak tiga kes lemas di kawasan pantai direkodkan di daerah ini dengan empat kematian. 

Dalam kejadian terbaharu, iaitu pada Sabtu, dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Omar di sini berusia 9 dan 11 tahun meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di Pantai Teluk Lipat. 

Maizura berkata, ibu bapa perlu sentiasa mengawasi anak-anak apabila berkunjung ke pantai dan masyarakat juga perlu sentiasa peka dengan saling mengingatkan pengunjung di pantai itu sekiranya ada antara mereka yang mandi pantai. 

“Pasukan keselamatan termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia juga sering mengadakan pemantauan di sekitar pantai ini,” katanya. 

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang laluan pantai kira-kira 10 kilometer dari Kuala Dungun hingga ke Pantai Teluk Gadung mendapati kurang daripada 10 papan tanda amaran yang dipasang dan tiada bendera merah dinaikkan.

Salah seorang penduduk, Ahmad Tarmizi Ibrahim, 51, berkata, kebiasannya penduduk di daerah ini tidak mandi di kawasan pantai terutamanya ketika musim tengkujuh berikutan ombak besar.

“Walaupun kita mahir berenang, namun masih berisiko untuk lemas sebab ombak yang kuat akan menarik badan kita ke tengah laut. 

“Ada antara kawasan di pantai ini juga berteluk dan terdapat pasir jerlus serta pusaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN