KUALA LUMPUR: Pengecualian Cukai Keuntungan Modal (CGT) ke atas Unit Amanah membantu melonjakkan lagi prestasi pasaran modal dan memberi manfaat sepenuhnya kepada lebih 90 peratus pelabur individu yang membuat pelaburan dalam industri tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pengecualian berkenaan akan memberi kesan pengurangan kepada unjuran hasil yang bakal diperoleh daripada pelaksanaan CGT.
“Pengecualian ini juga bertujuan memastikan Unit Amanah kekal sebagai pilihan pelaburan yang menarik pada masa hadapan dan boleh diakses oleh rakyat.
“Selain itu, ia memberi manfaat melalui pulangan lebih kepada para pelabur individu yang mana kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berada dalam golongan pra persaraan dan awal persaraan,” katanya semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang memintanya menyatakan adakah CGT terhadap Unit Amanah akan memberi kesan kepada unjuran hasil pendapatan negara sebanyak RM800 juta setahun seperti dinyatakan pada November 2023.
Hui Ying berkata, kerajaan mengunjurkan tambahan hasil sekitar RM800 juta setahun melalui pelaksanaan pengecualian CGT yang dikuatkuasakan pada awal Mac ini.
Katanya, unjuran tersebut berdasarkan trend pindah milik saham yang berlaku sejak beberapa tahun lalu. -UTUSAN










