KUALA LUMPUR: Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil menafikan dakwaan ada ‘wakil’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyerahkan ‘draf perjanjian’ kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata beliau telah menyemak dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Ketua Setiausaha Politik Anwar dan beberapa pegawai lain yang memaklumkan tiada draf diserahkan seperti didakwa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
“Saya tak pasti sama ada Ahli Parlimen Machang cetak draf dia sendiri sebab sebelum ini dia pernah kata untuk selesaikan masalah ekonomi kita kena cetak wang.
“Saya percaya beliau mungkin rasa terpanggil untuk menyelamatkan keadaan kerana yang disebut oleh ketua pembangkang (Hamzah) dalam Parlimen pada Khamis lalu ialah ada draf.
“Tetapi TPM (Datuk Seri Fadillah Yusof) yang duduk bersama dengan ketua pembangkang apabila melaporkan kepada Kabinet menyatakan tidak ada sebarang draf dan perkara ini telah disahkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Wan Fayhsal yang juga ketua Pemuda Bersatu mendakwa Anwar ada menyerahkan “draf perjanjian” melalui “wakilnya” kepada Hamzah, yang turut berkaitan dengan peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.
Beliau mendakwa perkara itu tidak diketahui sesiapa termasuk Fadillah yang semalam menafikan kewujudan dokumen terbabit.
Fadillah, yang diberi tanggungjawab berunding dengan pembangkang berhubung peruntukan Ahli Parlimen berkata, beliau tidak menyerahkan sebarang draf seperti didakwa, dalam pertemuan dengan Hamzah pada 19 Mac lalu.
Khamis lalu, Hamzah berkata, pihaknya sudah menerima suatu draf dokumen yang memperinci cadangan pemberian peruntukan.
Ahli Parlimen Bersatu, Datuk Rosol Wahid semalam dilaporkan berkata, Ahli Parlimen PN menuntut peruntukan RM3.5 juta setahun dalam ‘draf tawaran perjanjian baharu’ itu.
Justeru, Fahmi meminta wakil rakyat Bersatu itu merujuk saluran rasmi yang sudah dilantik berhubung rundingan berkenaan. –UTUSAN










