Pakai gelang, cincin kesalahan peniaga bazar Ramadan

Pakai gelang, cincin kesalahan terbanyak dilakukan peniaga bazar Ramadan

ramadan
DR. Zaini Hussin (tiga dari kanan) membantu memasak bubur lambuk pada Program Tanggungjawab Korporat (CSR) Bubur Lambuk Semarak Ramadan 2024 di Kota Bharu, Kelantan. -UTUSAN/ ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pemakaian aksesori seperti gelang dan cincin menjadi kesalahan tertinggi yang dilakukan oleh peniaga bazar Ramadan di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kesalahan itu bercanggah dengan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Menurutnya, selain itu pemakaian tidak tepat turut menjadi kesalahan yang menyebabkan peniaga makanan berdepan tindakan undang-undang.

Ujarnya, pada tahun lalu, JKNK mengeluarkan sebanyak 216 notis kepada pengendali makanan di bazar Ramadan bagi pelbagai kesalahan.

“Sepanjang pemeriksaan dilakukan terhadap pengendali makanan di bazar Ramadan, kesalahan yang paling kerap dilakukan adalah seperti tidak memakai apron, kasut dan penggunaan aksesori.

“Kita turut memantau dari segi kebersihan premis di mana tahun lalu, sebanyak 3,565 premis diperiksa dan kita mencapai tahap kebersihan sebanyak 96.20 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Tanggungjawab Korporat (CSR) Bubur Lambuk Semarak Ramadan 2024, di sini, hari ini.

Dr. Zaini memberitahu, sebanyak 46 pasukan sudah diwujudkan bagi menjalankan penguatkuasaan di bazar-bazar Ramadan di seluruh negeri membabitkan 180 Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran termasuk Pembantu Kesihatan Awam.

Katanya, tahun ini terdapat 69 bazar Ramadan di seluruh Kelantan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kesemua bazar Ramadan ini melibatkan 3,824 petak perniagaan dan kita akan pastikan tanggungjawab peniaga untuk menjual makanan yang selamat dan bersih kepada pengguna.

“Kita juga akan melakukan pemantauan bagi memastikan tidak berlaku pencemaran makanan sekali gus mengelak berlakunya kes keracunan sepanjang Ramadan,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN