P.Pinang: Lebih 200 sampel makanan Bazar Ramadan dianalisis

P.Pinang: Lebih 200 sampel makanan bazar Ramadan dianalisis

DANIEL Gooi (kiri) ketika meninjau suasana bazar Ramadan di Bayan Baru, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyasarkan untuk menganalisis kira-kira 200 lagi sampel makanan yang diambil dari Bazar Ramadan negeri ini untuk mengenal pasti tahap keselamatan makanan yang dijual di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, setakat ini, sebanyak 15 sampel makanan dari Bazar Ramadan telah diambil  untuk dianalisis secara berperingkat. 

“Kesemua sampel makanan itu akan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Butterworth bagi Analisa Mikrobiologi untuk tujuan tersebut,” katanya katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau bazar Ramadan Bayan Baru di sini, petang semalam.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 15 daripada keseluruhan 175 sampel makanan yang diambil dari bazar-bazar Ramadan tahun lalu didapati telah tercemar dengan bakteria yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada manusia.

“Hasil keputusan (ujian makmal) mendapati, daripada 175 sampel (yang dianalisis) sebanyak 15 sampel atau 8.6 peratus telah tercemar dengan bakteria,” ujar beliau.

Jelas Daniel, secara keseluruhannya, sebanyak 2,901 premis makanan telah diperiksa dan didapati sebanyak 99.9 peratus atau 2,899 gerai dalam keadaan memuaskan iaitu markah melebihi 80 peratus sepanjang Ramadan tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, sebanyak 63 notis kompaun telah dikeluarkan dengan nilai anggaran kompaun sebanyak RM8,000.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk pengendali tidak memakai apron dan penutup kepala, tiada suntikan antitifoid selain pengendali makanan yang memakai aksesori seperti barang kemas.

“Selain itu juga, terdapat dua aduan yang diterima tahun lalu berkaitan kebersihan makanan, namun, tiada aduan mengenai kes keracunan makanan,” katanya.

Pada Ramadan tahun ini pula katanya, jumlah keseluruhan bazar Ramadan di Pulau Pinang yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah sebanyak 81 lokasi dengan 33 daripada lokasi bazar itu terletak di bahagian pulau. 

“Bazar Ramadan Bayan Baru ini merupakan antara bazar terbesar di bahagian pulau dengan jumlah keseluruhan tapak sebanyak 142 tapak dan peniaga seramai 87 orang,” kata beliau.

Sementara itu, Daniel memberitahu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP akan meneruskan aktiviti pemeriksaan di bazar-bazar Ramadan iaitu dengan menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan berdasarkan risiko ke atas kesalahan yang ditemui semasa pemeriksaan tersebut dengan berpandukan Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Ramadan 2024. 

“Aktiviti ini melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan. Matlamatnya adalah untuk memastikan makanan yang disediakan atau dijual adalah selamat, mematuhi Akta Makanan 1983 dan juga peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN