Ops Tiris 3.0: 2,800 liter diesel dirampas di Pulau Pinang

Ops Tiris 3.0: 2,800 liter diesel dirampas di Pulau Pinang

SEORANG anggota penguatkuasa KPDN Pulau Pinang memeriksa tangki IBC di atas lori kanvas yang ditinggalkan di Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 di Bagan Lalang, di sini, semalam.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, terdahulu, pihaknya menjumpai sebuah lori kanvas yang ditinggalkan di tepi jalan bersebelahan sebuah kedai kopi di situ hasil maklumat risikan yang diterima.

“Lori kanvas berwarna merah itu didapati berada dalam kelihatan mencurigakan dan pemandunya yang disyaki tidak memiliki dokumen atau permit kebenaran (untuk membawa muatan diesel) daripada pengawal juga telah melarikan diri sewaktu pemeriksaan dilakukan,” katanya di sini, hari ini.

Jegan berkata, pemeriksaan lanjut terhadap lori kanvas itu mendapati, terdapat sebanyak mempunyai enam unit tangki intermediate bulk container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi sejumlah 2,800 liter minyak diesel serta dua set pam motor berserta hos paip dimuatkan dalam kenderaan terbabit.

“Kesemua barangan ini telah disita untuk tindakan selanjutnya. Nilai rampasan minyak diesel dianggarkan sebanyak RM6,020 sekaligus menjadikan nilai anggaran barang rampasan secara keseluruhannya berjumlah RM27,620,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel termasuklah sumber minyak diesel diperolehi dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

“Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua boleh dikenakan terhadap sesuatu pertubuhan perbadanan.

“Bagi orang perseorangan pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya selain denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi tempoh selama lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, KPDN Pulau Pinang sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar negeri ini bagi mengekang ketirisan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi. 

Dalam hal ini, Jegan menegaskan, pihaknya akan terus komited dan konsisten dalam menggerakkan tindakan penguatkuasaan berkaitan.

“Kami tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi diesel yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.

“Pada masa yang sama, masyarakat serta pengguna diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×