MELAKA: SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan memberi tumpuan khas di 78 kawasan panas tong sampah berpusat bagi mengawal daripada berlakunya longgokan sampah yang banyak dan tidak terkawal sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, 78 lokasi tersebut membabitkan 37 di kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) enam di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), 15 di Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan 20 di Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Menurutnya, tumpuan operasi khas itu akan diberikan kepada kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk beragama Islam yang tinggi.
“Kita telah menyusun strategi operasi dengan jadual kutipan sisa pepejal, tenaga kerja serta jumlah kenderaan mencukupi bagi mengelak daripada berlakunya longgokan sampah yang banyak.
“Operasi khas ini akan dijalankan bermula 7 hingga 13 April membabitkan 772 tenaga kerja dan 132 jentera pelbagai kegunaan.
“Selain kutipan tong sampah berpusat, SWM Environment turut memberi tumpuan kepada operasi berjadual sisa domestik dan pukal, operasi pasar awam serta pembersihan pusat bandar, pantai dan tempat awam,” katanya kepada pemberita pada majlis Iftar Ramadan SWM Environment Bersama Media di sebuah hotel di Banda Hilir di sini semalam.
Mohd. Norlisam berkata, pihaknya yakin sisa pepejal dijangka akan meningkat sepanjang musim perayaan ini.
Katanya, pemantauan dan kutipan akan ditumpukan di setiap tong berpusat yang dikenal pasti mengikut cawangan operasi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam boleh menghubungi ditalian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472 atau talian WhatsApp SWM Environment di 012-618 0082. – UTUSAN










