RANTAU PANJANG: Operasi bersepadu merobohkan jeti pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini akan diteruskan ke Rantau Panjang.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, pihaknya akan mengenal pasti terlebih dahulu lokasi tersebut sebelum tindakan diambil.
Menurutnya, hal ini kerana jika pangkalan haram itu dibina atas tanah persendirian, sekali gus memberi kesukaran kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
“Setakat ini menerusi operasi bersepadu dengan beberapa agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), kita sudah merobohkan dua jeti pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Tumpat.
“Pada masa sama, tiga notis telah diberikan oleh PBT kepada tiga stor milik penduduk yang dibina kerana tidak mematuhi syarat” katanya kepada pemberita selepas majlis iftar bersama Batalion 9 PGA di sini, malam tadi.
Sheik Azhar memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan stor berkenaan dijadikan transit untuk aktiviti kontraban dan penyeludupan senjata api dan dadah.
Katanya, kawalan sempadan akan terus diperketatkan sepanjang Ramadan dalam usaha membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan bersama wakil kerajaan negeri Kelantan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu menghapuskan pangkalan haram yang berisiko menjadi laluan penyeludupan.
Saifuddin berkata, beliau sendiri sudah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan dua minggu lalu dalam mencari solusi terbaik menghapuskan pangkalan haram. – UTUSAN










