Golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan di Terengganu tidak ketinggalan mengimarahkan bulan Ramadan dengan melakukan tadarus menggunakan al-Quran Braille.
Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu, Mohd. Fauzi Mansor berkata, mereka bertadarus dengan bimbingan 10 orang guru al-Quran di pejabat Pertis yang terletak di Seberang Takir, Kuala Nerus.
Menurutnya, Pertis Terengganu mempunyai 400 orang namun setakat ini, hanya 70 ahli sahaja yang menyertai program tadarus Ramadan tersebut.
Ketika ini, peserta tadarus paling muda berumur 18 tahun iaitu remaja lelaki yang cacat penglihatan dan autisme manakala peserta paling tua ialah seorang wanita berumur 70 tahun. –UTUSAN










