Mustahil saya tak makan hati - Ezlynn - Utusan Malaysia

Mustahil saya tak makan hati – Ezlynn

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA penyanyi, Ezlynn, membuka mulut dan mengaku bahawa dia kini hidup bermadu dengan menerima kehadiran seorang lagi wanita yang juga bergelar isteri kepada suaminya, ramai beranggapan Wan Mohd. Hafizam adalah seorang lelaki bertuah. 

Iyalah, bukan mudah mempunyai isteri yang begitu memahami dan reda dengan kehendak suami untuk berkahwin lagi apatah lagi si isteri pula yang bantu mencari calon wanita yang sesuai buat suami. 

Ternyata Ezlynn memang seorang wanita yang luar biasa dan keputusan itu menjadikan penyanyi ini dikagumi ramai lantaran teguhnya pendirian dalam mencari pahala dan keredaan Allah S.W.T. 

Bagaimanapun, hidup bermadu bukan bermakna hatinya sebagai wanita sekental yang disangka. 

Kata Ezlynn, perkara itu amat mustahil kerana sifat wanita tidak boleh lari daripada perasaan cemburu yang ada kalanya menerpa. 

“Bohonglah kalau saya katakan tak pernah rasa cemburu atau makan hati. Bila disini suami kata sayang, yang disana pun suami kata sayang. 

“Lumrah wanita memang ada sifat itu. Tetapi percayalah, kaum wanita ini, memang suka dengan perhatian. Di sinilah peranan bijak harus dimainkan oleh suami. 

“Jangan pernah kurang rasa sayang dan kasih itu terhadap isteri biarpun ada isteri ramai. Mulut itu memang kena manis. Perempuan ini dia nak dengar saja. Tak kisahlah dia nak cakap belah sana macam mana janji dengan kita dia jaga hati,” katanya. 

Kongsi Ezlynn, dia juga mengambil inisiatif untuk mengajak suaminya duduk berbincang dalam sebarang perkara bagi mengelak salah faham antara mereka. 

“Saya ini orang yang suka pendam tetapi bila kita diam tentulah orang tak akan tahu apa yang kita rasa. Itulah yang lama-lama akan makan hati dan jadi kosong. Menerusi perkahwinan baharu  dengan madu, saya cakap dengan suami supaya bersabar terutama jika saya mahu meluahkan pandangan. 

“Saya lebih suka jika kami berbincang dan berkomunikasi. Bukanlah dengan cara kasar. Bila saya beritahu begitu, suami terkejut kerana dia tak sangka saya adalah satu-satunya wanita yang dia kenali, yang mahu berbincang secara relaks dengannya,” katanya. 

Ingat, poligami bukan untuk semua

Melanjutkan pertanyaan mengenai wujudnya isu-isu kahwin lari atau nikah secara sembunyi-sembunyi oleh segelintir pihak terutama ada yang melibatkan selebriti dan pempengaruh kebelakangan ini, Ezlynn menganggap perkara itu tidak wajar berlaku. 

Ini kerana, baginya, setiap pasangan terutama suami, harus mengambil kira perasaan isteri apabila menyebut tentang poligami atau hidup bermadu. 

“Beginilah, wanita ini apabila dia berkahwin, dia akan berikan seluruh jiwa raganya. Dunia dia hanya ada awak sahaja. Jadi sanggupkah buat isteri begitu?

“Bincanglah… kalau isteri tak boleh terima, elak kahwin lagi. Sebab, kena ingat, poligami bukan untuk semua wanita. Poligami bukan untuk semua orang. 

“Kalau isteri tak boleh berpoligami, jangan teruskan sebab ia boleh menjejaskan mental isteri dan anak. Pendek kata, macam-macam boleh jadi. Kasihanlah,”katanya. 

Selain itu, Ezlynn juga menepis pandangan dangkal orang yang beranggapan keputusannya untuk hidup bermadu ini juga menandakan dia sebenarnya separuh hati mencintai suaminya. 

“Saya sayang suami saya gila-gila. Tetapi nombor satu adalah Allah S.W.T. Suami adalah perantaraan terbaik untuk saya dan kena ingat, dia juga adalah pinjaman dari Allah. 

“Sebagai isteri, saya tentulah mahu lakukan yang terbaik dan ia dibuat bukan demi validasi suami. Tetapi saya mahukan validasi Allah itu. 

“Seorang wanita Allah jadikan hatinya sangat halus dan mestilah akan rasa kecewa, sakit, sedih, semuanya. Tetapi saya fikir ini adalah jalan saya kepada Allah. 

“Kalaulah poligami itu tidak sakit, tentulah semua orang pun nak buat sebab nak masuk syurga. Tetapi syurga Allah itu mahal, tidak semurah itu. Saya terima ini takdir saya,”katanya. 

Dalam pada itu, ditanya tentang hasrat menimang anak setelah empat tahun membina rumah tangga bersama, kata Ezlynn, dia tidak lagi mahu memikirkan soal itu.

Bagaimanapun, dia berdoa dan berharap supaya madunya yang juga seorang doktor, dapat menyambung memberi zuriat kepada suami bagi memeriahkan lagi keluarga mereka. 

“Ya, kami sedang mencuba (sebagai sebuah keluarga). Saya tak boleh dah nak hamil sebab sudah berumur. Saya harap madu dapatlah sampaikan hajat itu. Dia pun muda lagi.

“Suami pun ada tiga anak menerusi perkahwinan terdahulu yang mana masing-masing berusia 22, 11 dan sembilan tahun. 

“Saya doakan kami dikurniakan rezeki anak lagi, Insya-Allah,” jelasnya. 

Untuk info, Penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye ini berkahwin dengan Wan Mohd Hafizam yang juga penderma hati pertama negara pada 11 September 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya