Muaz Zabir enggan dilabel pelakon kayu - Utusan Malaysia

Muaz Zabir enggan dilabel pelakon kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon meningkat naik, Muaz Zabir, memaklumkan telah berusaha menjayakan setiap watak agar dirinya tidak dilabel pelakon ‘kayu’.

Kata Muaz, dia enggan dianggap sebagai seorang pelakon yang sekadar berwajah tampan tanpa bakat dalam bidang berkenaan.

“Drama Iskandar Chempaka merupakan naskhah pertama saya sebagai hero. Saya faham tanggapan penonton terhadap pelakon baru. Bagi saya, peluang ini ialah batu loncatan untuk membolehkan penonton menilai saya boleh berlakon atau tidak. 

“Kalau penonton masih rasa saya pelakon yang ‘kayu’, percayalah saya sudah berikan yang terbaik dengan berbincang bersama pengarah dan pelakon berpengalaman.

“Semoga penonton tidak hanya memandang yang buruk, tetap dapat melihat sisi baik lakonan saya dalam naskhah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muaz yang sebelum ini bekerja sebagai jurulatih kecergasan memaklumkan pernah berputus asa dan enggan meneruskan minat berlakon kerana tekanan yang diterimanya. 

“Sebenarnya, saya tidak terfikir mahu menjadi pelakon. Namun saya beralih kepada bidang ini kerana gaji saya dipotong semasa pandemik beberapa tahun lalu. 

“Saya hampir undur diri disebabkan bidang ini penuh dengan tekanan.

“Namun, saya cuba tempuhi setiap cabaran. Itu menjadikan saya lebih bersemangat,” tambahnya.

Drama Iskandar Chempaka mengisahkan pasangan muda yang berkahwin dan tinggal bersama keluarga mentua. 

Chempaka bagaimanapun menghadapi cabaran apabila kerap disindir ibu mentuanya dan dianggap tidak mahir menguruskan anak kesayangannya, Iskandar. 

Drama arahan Azri Izhar ini ditayangkan setiap Khamis hingga Sabtu di TV3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya