PUTRAJAYA: Media memainkan peranan penting memberi pandangan, ulasan, pencerahan dan teguran dalam suasana demokrasi yang bermakna.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, media perlu bersama memainkan peranan mengangkat martabat umat dan negara serta melonjak pertumbuhan negara.
“Cuma seperti mana saya luahkan baru-baru ini, saya agak terkesan kerana isu besar negara, soal mengejar pertumbuhan lebih rancak, mendepani masalah seperti cabaran digital, peralihan tenaga, kemahiran, kecekalan dan keterampilan anak muda dalam bidang tertentu, itu semua tidak menarik minat sebahagian tokoh politik.
“Mereka masih lagi terikat, terperangkap dalam tempurung, pemikiran jumud yang lapuk dan lama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka bersama Pengamal Media di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri meraikan kira-kira 200 pengamal media pada majlis berbuka puasa itu
Anwar tiba pada pukul 7 malam disambut isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Yang turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd, Azlan Jaafar dan Pengarang Eksekutif, Zulkifli Jalil.
Perdana Menteri berkata, usaha mengangkat martabat umat dan negara memerlukan ilmu, kecekalan, disiplin, kecintaan serta keprihatinan dalam menyantuni masyarakat.
“Saya harap mudah-mudahan dengan semangat Ramadan ini, sebagai madrasah Ramadan, dapat kita diikatkan iman, ilmu dan disiplin,” katanya. – UTUSAN