MBPP rampas 25 buah e-skuter

MBPP rampas 25 buah e-skuter

SEPASUKAN anggota penguatkuasa MBPP merampas kenderaan e-skuter di sebuah premis yang menjalankan perniagaan sewa e-skuter tanpa lesen di pusat bandar George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak 25 buah e-skuter dirampas oleh anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu serbuan di sebuah premis yang menjalankan perniagaan menyewa kenderaan tersebut tanpa lesen, malam tadi.

Jurucakap MBPP berkata, serbuan yang dibuat di tengah pusat bandar itu dijalankan oleh Jabatan Pelesenan dengan kerjasama Pasukan Risikan dan Operasi Jabatan Penguatkuasaan MBPP.

“Kesemua 25 buah e-skuter ini dipercayai telah dijadikan barang perniagaan oleh premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah oleh pihak MBPP.

“Semasa serbuan dibuat, bagaimanapun, hanya seorang warganegara Bangladesh yang dikesan sedang mengoperasikan perniagaan tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, MBPP pernah mengingatkan kepada orang ramai bahawa penggunaan e-skuter di atas jalan raya adalah di bawah tanggungjawab sendiri dan ia menjadi kesalahan mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kebiasaannya, e-skuter yang bersifat mikro mobiliti itu hanya digunakan di atas siar kaki awam atau satu kawasan yang diasingkan dari jalan raya sahaja.

Malah, sehingga kini juga, MBPP tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada pengendali kenderaan terbabit dan pemantauan aktiviti e-skuter giat dijalankan dari semasa ke semasa demi keselamatan orang awam.

Dalam pada itu, jurucakap MBPP tersebut memaklumkan, pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan dan tindakan bagi premis-premis yang menjalankan perniagaan  tanpa lesen terutama kenderaan mikromobiliti bagi menjaga keselamatan orang awam yang menggunakan lalu lintas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×