KUALA LANGAT: Sebanyak RM3 juta disumbang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi membantu pembinaan semula bangunan sekolah pondok dan rumah 21 mangsa banjir di negeri ini.
Menurut Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd.Yusof, dengan bantuan itu, 20 daripada 21 penerima menerima sumbangan membina rumah baharu berjumlah sebanyak RM1.86 juta melibatkan mangsa-mangsa banjir dalam kalangan asnaf yang terkesan di negeri ini.
“Kesemua asnaf yang menerima rumah baharu tersebut terlibat dengan banjir besar di negeri ini pada Disember 2021. Sumbangan RM3 juta ini adalah bukti semangat bantu-membantu antara umat Islam di negeri ini
“Semangat solidariti dan ukhuwah itu perlu dikekalkan demi membantu kemaslahatan ummah dari sudut agama, sosial dan ekonomi khususnya di Selangor dan Wilayah Persekutuan,” katanya pada program Sentuhan Kasih MAIS bersama MAIWP.
Beliau menambah, sebanyak enam unit rumah dibina di daerah Sepang, empat unit di daerah Klang, tiga unit di daerah Petaling dan tujuh unit di daerah Hulu Langat.
“Alhamdullillah lebihan sebanyak RM1.12 juta daripada RM3 juta tersebut digunakan bagi membaik pulih bangunan warden dan asrama serta bangunan lama di Pusat Pengajian Pondok Bustanul Ariffin di sini.
“Saya kagum melihat bangunan baharu yang dibina hasil sumbangan MAIWP di sini berjaya direalisasikan. Saya berharap kerjasama kedua pihak berterusan,” ujarnya. – UTUSAN










