MAIWP rangka strategi, cadangan bantu asnaf keluar dari kemiskinan

MAIWP rangka strategi, cadangan bantu asnaf keluar dari kemiskinan

MOHD. NA’IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meneroka beberapa cadangan dan strategi bagi memastikan impak maksimum dapat diperoleh oleh golongan asnaf untuk keluar daripada kemiskinan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, antara cadangan untuk membantu golongan asnaf termasuk menambah baik program kewangan.

“Iaitu memperbaiki program kewangan sedia ada atau memperkenalkan program baharu yang memberi tumpuan kepada bantuan kewangan seperti pakej asasi meliputi keperluan makanan, perlindungan pendidikan dan lain-lain.

“(Ini) bagi membantu asnaf meningkatkan kesejahteraan ekonomi mereka (dan) seterusnya mengeluarkan golongan tersebut daripada kelompok kemiskinan tegar,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya mengenai keberkesanan program-program pembangunan asnaf MAIWP telah dilaksanakan dan cadangan-cadangan yang mampu memberi impak.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, kerajaan turut menitikberatkan perkembangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada anak-anak asnaf.

“Mempelbagaikan program latihan dan pembangunan kemahiran TVET kepada generasi kedua asnaf yang ketinggalan dalam akademik supaya dapat meningkatkan kemahiran pekerjaan mereka, peluang pekerjaan serta pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 21 peratus daripada peserta program pembangunan usahawan berjaya keluar daripada kemiskinan pada 2022 yang mana ia menunjukkan antara keberkesanan program-program pembangunan asnaf MAWIP.

“786 daripada 3,735 peserta dengan purata jualan sebanyak RM10,000 sebulan,” jelasnya.

Tambahnya, 688 golongan asnaf dilengkapkan dengan kemahiran insani bekerjaya dan seramai 433 orang generasi kedua asnaf telah mendapatkan kemahiran serta pekerjaan dengan gaji minimum RM1,500. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN