KUALA LUMPUR: Mencuri tumpuan dengan kebolehan bercakap dalam telor British, pelakon, Puteri Balqis, 16, berterima kasih kepada ibunya, Norashikin Mohd. yang melatih dia menguasai bahasa tersebut sejak usia kecilnya.
Kata Puteri Balqis, meskipun sukar, namun dia tidak berputus asa malah terus memperbaiki kemahiran dalam bahasa tersebut sehingga ke hari ini.
“Sejak kecil saya dilatih bercakap tentang topik yang sama dalam bahasa Inggeris secara berulang.
“Ibu saya sangat menggalakkan dengan membelikan saya buku latihan yang mengandungi huruf dan perkataan dalam bahasa tersebut. Bahkan dia juga membenarkan saya menulis perkataan bahasa Inggeris di dinding rumah kerana mahu saya mahir.
“Saya bersyukur latihan awal itu menjadikan bahasa Inggeris saya bertambah baik sekarang. Bahasa ini besar kepentingannya lebih-lebih lagi dalam mencari pekerjaan,” katanya selepas sidang media drama Terlanjur Cinta semalam.
Puteri Balqis yang mesra disapa sebagai Aqish juga mengakui telah merujuk British Council Malaysia untuk menambah baik kemahiran bahasa Inggerisnya.
“Saya juga ramai kawan dari luar negara dan selalu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan mereka.
“Kita kena bergaul dengan orang-orang positif agar untuk maju dalam satu-satu perkara. Persekitaran yang positif, dengan kawan-kawan yang selalu membetulkan penggunaan Bahasa Inggeris saya membuatkan kemahiran saya dalam bahasa itu bertambah baik.
“Bahasa Inggeris adalah pendidikan yang penting. Saya sarankan kepada masyarakat agar terus menambah baik penguasaan dalam bahasa itu meskipun ada pihak yang mengeji usaha tersebut,” kongsinya lagi.