DSP kutip duit sindiket mungkin dilindungi pegawai lebih tinggi

Lindungi aktiviti haram, SPRM siasat mungkin ada pegawai tinggi lain terlibat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  terus menyiasat kemungkinan ada pegawai tinggi polis lain turut melindungi aktiviti haram di ibu negara selepas penahanan  seorang Deputi Superintenden Polis (DSP) baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu  masih dalam siasatan dan pihaknya kini fokus   menjejaki wang yang dikumpul DSP berkenaan termasuk yang sudah dibelanjakan.

“Kami syak DSP  yang ditahan itu tidak melakukan kerjanya  bersendirian  dan perkara itu dalam siasatan,”  kata beliau  pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Menurut beliau, buat masa ini siasatan ke atas DSP yang bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur masih berjalan selepas remannya disambung tiga hari lagi.

“Kita akan siasat berapa lagi wang yang diterimanya daripada sindiket  dan akan mengesan siapa lagi yang turut terlibat.

“Kita juga  sedang mengesan aset dan maklumat lain aset yang diperoleh atau sudah dibelanjakan,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pegawai kanan polis di IPK Kuala Lumpur ditahan SPRM kerana disyaki melindungi aktiviti haram membabitkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut sumber, suspek utama iaitu lelaki berusia 40-an disyaki menerima suapan antara tahun 2021 hingga 2024 daripada sindiket dalam bentuk tunai sebagai balasan melindungi aktiviti haram membabitkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN