LHDN perlu lebih tegas kutip cukai - PM

LHDN perlu lebih tegas kutip cukai – PM

ANWAR Ibrahim ketika majlis sambutan Hari Hasil di Cyberjaya. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) supaya lebih tegas dalam mengutip hasil cukai tanpa mengira kedudukan syarikat atau pangkat individu.

Perdana Menteri malah mengakui masih ada syarikat ‘gergasi’ atau ‘naga’ yang culas membayar cukai.

Justeru, katanya, perlu ada ketegasan dalam soal itu bagi memastikan syarikat besar dan individu paling kaya tidak terselamat daripada tindakan.

“Ada keperluan untuk kita lebih tegas dan mesti ada semangat serta kesungguhan anda (LHDN), tidak kira kedudukannya.

“Saya selalu sebut, saudara bertugas jalankan tanggungjawab..apakah dia Ahmad atau Ah Seng atau Tan Sri atau Tun saya tidak kira.

“Saudara (LHDN) hanya kena kira dia bayar cukai atau tidak, kalau tidak bayar sila geledah dan ambil tindakan, barulah hebat saudara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2024, di sini hari ini.

Mengimbas kembali sejarah naik taraf LHDN kepada sebuah agensi badan berkanun, Anwar berkata, beliau mengakui bertanggungjawab menaikkan Jabatan Hasil Dalam Negeri kepada LHDN ketika menjawat Menteri Kewangan sekitar tahun 1996.

Katanya, naik taraf itu dibuat bagi mengenang jasa dan pengorbanan warga LHDN ketika itu yang berjaya melaksanakan kutipan cukai terhadap puluhan syarikat besar yang culas membayar cukai.

“Ketika itu, ada puluhan syarikat raksasa dan gergasi terkenal di negara ini tetapi sukar membayar cukai. Ada bayar setengah dan ada bayar suku.

“Mereka ini telalu besar, gergasi…naga, siapa berani singgung. Tapi bila saya bicara dengan kepimpinan pengurusan (jabatan ketika itu),” katanya.

Katanya, ketika itu mereka berjaya mengutip cukai buat kali pertamanya daripada syarikat berkenaan hasil daripada ketegasan dan keberanian.

Jelasnya lagi, mengenang jasa, kesungguhan dan pengorbanan serta risiko dihadapi, beliau (sekitar 1996) memutuskan untuk menaikkan jabatan itu kepada sebuah agensi badan berkanun.

LHDN merekodkan kutipan cukai sebanyak RM183.3 bilion pada tahun 2023 iaitu peningkatan RM7.8 bilion atau 4.49 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kutipan cukai tertinggi dalam sejarah yang pernah diraih LHDN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya