Lelaki rempuh anggota polis, seludup PATI ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki rempuh anggota polis, seludup PATI ditahan

MOHD SHOKRI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seorang lelaki tempatan dipercayai penyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) yang merempuh seorang anggota polis dalam kejadian di sekitar Kampung Kubang Tiga, pada 16 Oktober tahun lalu ditahan di sebuah rumah sekitar Padang Besar  di sini semalam.

Ketika ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi itu, suspek telah bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan cara melompat dari tingkap rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, akibat tindakan itu, lelaki berkenaan mengalami retak tulang di tumit kaki kanan dan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan lanjut.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati lelaki terbabit mempunyai lapan rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan malah ujian air kencing dijalankan juga adalah positif methamphetamine.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd Shokri, mengimbas kejadian itu, pihaknya menerima satu laporan daripada pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 yang menjalankan tugas risikan penyeludupan PATI di kawasan itu.

Katanya, pasukan terlibat telah terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Mitshubishi Pajero yang dipandu lelaki tempatan berkenaan dan disyaki membawa bersama PATI.

“Selepas diminta berhenti berulang kali, pemandu itu tidak mengendahkan arahan lalu bertindak memecut laju kenderaan sehingga ke Stesen Keretapi Bukit Kateri dan kemudiannya berhenti di sana.

“Pemandu terlibat kemudiannya berundur lalu merempuh motosikal pasukan ditunggang oleh seorang anggota polis yang mengejar,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, akibat daripada rempuhan itu, anggota polis terlibat telah mengalami kecederaan di tangan kiri malah motosikalnya juga rosak pada bahagian hadapan.

Ujarnya, pemandu kenderaan itu juga berjaya meloloskan diri selepas merempuh anggota berkenaan.

“Walaubagaimanapun, polis berjaya menahan 12 PATI yang berada dalam kenderaan terbabit untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya