PETALING JAYA: Kos yang perlu dibayar untuk keluar dari Gaza mencecah RM23,670 seorang sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu dan sehingga kini belum nampak tanda-tanda akan tamat.
Rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di sana, Nurul Ain Haron, 37, berkata, beliau pernah menawarkan kepada bapa mentuanya dibawa keluar dari Gaza kerana serangan Israel tidak berhenti.
Bagaimanapun, katanya, bapa mentuanya menolak tawaran itu kerana rasa tanggungjawab untuk mempertahankan tanah air daripada terus dijajah oleh rejim Zionis.
“Untuk berpindah dari lokasi perang kita kena bayar iaitu sebanyak 5,000 dolar Amerika Syarikat seorang kepada ejen. Jadi takkan saya nak keluarkan ayah mentua saya sahaja, mesti mahu turut keluarkan ahli keluarga lain.
“Tetapi mereka sendiri tolak tawaran itu kerana mereka kata siapa lagi mamu mempertahankan Gaza kerana beranggapan kalau bukan mereka siapa lagi akan mempertahankan. Jadi kami hormati keputusan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kata Nurul Ain, bayaran kepada ejen itu hanya untuk melangkah keluar dari Gaza dan tidak termasuk dibawa menaiki penerbangan ke destinasi yang dirancang.
Dalam pada itu, beliau berkata, suasana Ramadan di Gaza tidak ada apa yang istimewa kerana bekalan makanan yang ada sangat terhad dan mahal sehingga menyukarkan penduduk berpuasa serta berbuka.
“Makanan di sana memang sangat sukar untuk didapatkan dan harganya sangat tinggi. Kebanyakan mereka bila makan untuk berbuka, maka tiada makanan untuk bersahur. Ini makanannya mereka hanya boleh makan sehari sekali sahaja.
“Mereka memang mengharapkan bantuan dari luar sebenarnya, sebab itu saya berusaha mencari dana untuk menyalurkan bantuan ke sana,” katanya.
Kata Nurul Ain lagi, maklumat daripada keluarga mentuanya, 18 jiran mereka syahid dan dibunuh dengan kejam oleh tentera Israel.
“Itu walaupun mereka dalam khemah, Israel tetap menyerang mereka.
“Baru sekejap ini saya dapat berita daripada saudara suami saya (Mohamed Adan Shaat, 34) yang berada di Rafah, rumah jirannya dibedil bom sehingga tingkap mereka pecah dan boleh dianggap rumahnya separa musnah,” ujarnya. –UTUSAN










