Kes rasuah Muhyiddin kekal di Mahkamah Sesyen - Pendakwaan

Kes rasuah Muhyiddin kekal di Mahkamah Sesyen – Pendakwaan

Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam. -UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangguhkan prosiding kes salah guna kuasa untuk suapan RM232.5 juta sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 29 Mac lalu, Presiden Bersatu dan juga bekas Perdana Menteri kelapan itu membuat permohonan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenakan semula empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapat suapan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu, kes rasuah terbabit bermula di Mahkamah Sesyen dan masih kekal di mahkamah sama selepas Mahkamah Rayuan memerintahkan kes tersebut dikembalikan semula untuk tindakan lanjut.

Rayuan akhir bagi kes di Mahkamah Sesyen adalah di Mahkamah Rayuan mengikut Seksyen 87 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Pada awal prosiding, peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sudah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan itu dan akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding kes rasuah terbabit.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan pada 3 April ini bagi sebutan semula kes bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan rayuan berkenaan.

Pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Sup­piah memutuskan agar keempat-empat pertuduhan itu ‘dihidupkan semula’ selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila membatalkan kesemua pertuduhan itu.

Pada 15 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM232.5 juta bagi partinya selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Ia susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta, kesemua­nya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN