HATYAI, THAILAND: Perlis bakal menubuhkan jawatankuasa khas bersama tiga wilayah Selatan Thailand dalam masa terdekat bagi memperkasakan sektor pelancongan di negeri itu.
Tiga wilayah Selatan Thailand terlibat adalah membabitkan Yala, Songkla dan Satun yang merupakan kawasan bersempadan dengan Malaysia.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut bakal memudahkan lagi perhubungan antara Perlis bersama tiga wilayah Selatan Thailand berkenaan khususnya dalam merancakkan lagi penganjuran Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs).
“Kita mulakan usaha ini untuk sektor pelancongan terlebih dahulu dan selepas ini mungkin boleh diperluaskan dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pelbagai lagi,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perbincangan Agenda Pelancongan dan Kerjasama Perlis Bersama Selatan Thailand di Hotel Yannaty, di sini, hari ini.
Hadir sama dalam mesyuarat berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjasama Sempadan, Izizam Ibrahim.
Mesyuarat itu yang turut membabitkan pemain industri pelancongan dari wilayah Selatan Thailand untuk merungkai beberapa permasalahan khususnya membabitkan kemasukan pelancong dari Thailand ke Perlis.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, terdapat beberapa isu dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan terlibat antaranya seperti penjualan diesel kepada pelancong dari Thailand.
“Maklumat mengenai perkara ini baru sahaja saya terima dan kita perlu selesaikan untuk memastikan kehadiran pelancong ke Perlis tidak terjejas.
“Dari segi pembelian petrol, pihak terlibat sememangnya tidak mempunyai masalah namun kekangan yang berlaku adalah membabitkan pembelian diesel bagi van pelancong dan seumpamanya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, pemain industri di Perlis juga boleh mencontohi peniaga Thailand yang amat mengutamakan kebersihan dalam perniagaan mereka bagi menarik kehadiran pelancong.
Katanya, Perlis amat berpotensi besar dalam sektor pelancongan berikutan mempunyai tarikan tersendiri seperti keindahan alam semula jadi, keunikan makanan dan pelbagai lagi
“Malah aktiviti seperti motorcross juga berpotensi untuk dikembangkan di Perlis berikutan mendapat permintaan tinggi daripada penggemar sukan lasak itu khususnya dari Thailand,” katanya.-UTUSAN










