PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan tidak pernah zalim terhadap Terengganu terutama dalam soal Pemberian Persekutuan dan Belanja Pembangunan sebaliknya peruntukan berkenaan ditingkatkan setiap tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agihan peruntukan Belanja Pembangunan bagi Terengganu ditingkatkan kepada RM1.59 bilion tahun ini berbanding RM1.55 bilion pada 2023.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi Pemberian Persekutuan pula, jumlah diberikan lebih tinggi berbanding agihan oleh kerajaan terdahulu.
“Peruntukan (Pemberian Persekutuan) yang diagihkan oleh kita (Kerajaan Perpaduan) lebih pada pemerintahan ketika Pas dan Bersatu, zalim macam mana? Kita tambah kepada RM413 juta pada 2023 dan dijangka terus meningkat pada tahun 2024.
“Dia (Menteri Besar Terengganu) kata zalim. Ketika saya menjadi pembangkang berpuluh tahun, kita tidak menerima sebarang peruntukan, termasuk ketika UMNO-Pas-Bersatu menjadi kerajaan. Ketika itu tidak zalim, tetapi sekarang zalim?
“Bolehkah undang-undang (Islam) berubah mengikut pakatan politik? Kalau dulu zalim, ya, sekarang pun zalim,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.
Katanya, beliau ingin menegaskan bahawa saluran Pemberian Persekutuan dan Belanja Pembangunan kepada Terengganu itu disalurkan terus kepada projek rakyat.
Jelasnya lagi, jika ada kecemasan atau yang mendesak seperti hakisan di Tasik Kenyir, peruntukan terus diberikan bagi menyegerakan projek berkenaan.
Anwar berkata, kerajaan juga telah melunaskan pemberian wang ehsan untuk Terengganu berdasarkan hasil petroleum tahun 2023, iaitu sebanyak RM786 juta.
Katanya, Terengganu juga mencatatkan jumlah rakyat miskin yang ramai justeru kerajaan mengambil pendekatan menyalurkan terus peruntukan kepada mereka yang memerlukan (di negeri itu) tanpa melalui mana-mana Ahli Parlimen (MP).
“Saya mengingatkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan peruntukan setiap kawasan tidak kira Pas atau Bersatu harus diberikan kepada semua.
“Cuma kita tak bagi melalui Ahli Parlimen, kita beri pada rakyat. Kita tumpu pada miskin, kalau miskin tegar, tak kira dia ahli parti mana, di kawasan mana, kita bantu tanpa pilihan sama ada kau, agama, kawasan atau parti,” katanya.
Ketika sidang Dewan Rakyat pada 6 Mac lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) meminta penjelasan daripada Anwar mengenai tunggakan bayaran royalti minyak kepada negeri itu tahun lalu.
Ahmad Samsuri mendakwa negeri itu masih belum menerima kira-kira RM1 bilion daripada kerajaan pusat. – UTUSAN