PETALING JAYA: Kerajaan Mesir memberi jaminan bantuan kemanusiaan Malaysia untuk penduduk Palestin di Gaza akan dipermudahkan penghantarannya.
Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasar berkata, bantuan Malaysia akan diberi keutamaan untuk memasuki sempadan Gaza berikutan hubungan baik di semua peringkat antara dua negara ini.
Katanya, ia termasuk penghantaran terbaharu membabitkan 100 tan bantuan melalui jalan laut ke negara itu yang dijangka tiba awal bulan ini.
“Sejak awal krisis semasa di Gaza, Mesir melihat Malaysia sentiasa memberikan sokongan penuh di semua peringkat dengan pelbagai cara. Justeru, pihak Mesir akan memberi keutamaan bantuan dari Malaysia .
“Pada 14 Februari lalu, Malaysia sudah menyediakan satu penghantaran baharu menerusi Palang Merah Mesir dengan komponen yang dibeli di Kaherah.
“Pada 23 Oktober 2023 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berjumpa dengan Presiden Mesir, Abdel Fatah El Sisi untuk membincangkan sumbangan yang boleh diberikan Malaysia kepada Gaza melalui Mesir,” katanya dalam sidang akhbar di kediamannya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Mesir juga berharap agar Malaysia terus memberi bantuan kepada Palestin melalui Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) ekoran terdapat risiko bantuan tersebut dihentikan
“Malaysia sangat membantu dalam isu ini dan jaminan itu diberikan sendiri oleh perdana menteri melalui panggilan telefon oleh Abdel Fattah.
“Beliau menyatakan, bantuan berjumlah RM10 juta akan diberikan kepada kepada UNRW tambahan RM1,171,250 (AS$250,000) kepada Palang Merah Mesir dan RM2,342,500 (AS$500,000) kepada Palang Merah Palestin,” katanya.
Ragai berkata, tindakan rakyat Malaysia yang tidak berputus asa menyatakan sokongan dan memberi bantuan kepada rakyat Palestin yang kini menderita akibat peperangan itu harus dipuji.
“Mesir memberi jaminan bahawa bantuan yang ingin disampaikan oleh rakyat Malaysia akan disampaikan dengan sedaya upaya sebagai tanda solidariti sebuah negara Islam.
“Hantarlah apa sahaja bantuan untuk rakyat Palestin dan Mesir akan sedia membantu apa sahaja yang boleh agar bantuan ini sampai,” katanya. – UTUSAN










