Keputusan rayuan Siti Bainun 24 April

Keputusan rayuan Siti Bainun 24 April

SITI Bainun Ahd Razali diiringi pegawai penjara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan pengasas Rumah Bonda Bonda, Siti Bainun terhadap sabitan salah terhadapnya kerana menganiaya dan mengabaikan remaja Sindrom Down, Bella diputuskan 24 April ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat.

“Mahkamah telah meneliti kesemua hujahan lisan daripada kedua-dua pihak, maka saya akan beri alasan penghakiman ringkas pada tarikh itu,” katanya.

Pada prosiding hari ini, Siti Bainun diwakili peguam-peguam Haijan Omar, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor dan Nurul Hafidzah Hassan manakala pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin.

Terdahulu ketika berhujah, Haijan berkata, pertuduhan baharu iaitu pertuduhan membabitkan penganiayaan terhadap Bella tidak pernah dibaca dan diambil pengakuan baharu selepas pertuduhan itu dipinda.

Selain itu, terdapat beberapa hari prosiding perbicaraan berjalan tanpa Siti Bainun diwakili dengan mana-mana peguam menyebabkan haknya telah diprejudiskan.

Pada 26 Januari 2023, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi mengarahkan Siti Bainun untuk memulakan sesi bela diri dengan membaca pernyataan saksinya setebal hampir 200 muka surat agar tidak mengganggu perjalanan kes meskipun wanita terbabit pada ketika itu tidak diwakili peguam.

“Siti Bainun telah meminta penangguhan prosiding kerana dia tidak diwakili peguam, namun permohonan itu ditolak malah disuruh membela diri dengan membaca pernyataan saksi selain kenyataan saksi itu dibantah (dibuang) oleh responden,” kata Haijan.

Selain itu, Haijan menghujahkan pihak pendakwaan juga tidak memanggil dua remaja dikendali sebagai Aida dan Balqis merupakan bekas penghuni rumah kebajikan itu yang menyaksikan kejadian berlaku pada Bella bagi menyokong keterangan saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar yang juga bekas penghuni rumah kebajikan itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Analia Kamaruddin berkata dua saksi itu tidak dipanggil kerana mereka merupakan saksi kanak-kanak dan keterangan ketika disoal siasat sudah mencukupi.

“Ketika kejadian, remaja yang berusia 13 dan 16 tahun itu, berada di bawah pemeliharaan Siti Bainun. Mengambil perkara itu, pihak kami menghujahkan, tiada keterangan lain diperlukan,” katanya.

Pada 3 Mei tahun lalu Siti Bainun, 32, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella yang disabitkan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Pada masa sama, mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN