Dua bekas setiausaha politik menteri didenda RM15,000

Kenyataan bercanggah: Dua bekas setiausaha politik menteri didenda RM15,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu masing-masing didenda RM15,000 kerana memberi keterangan bercanggah ketika perbicaraan kes tersebut. 

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Zainudin Abdul Majid, 53, dan Ahmad Hisham Mohd. Tajuddin, 54, selepas mereka menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah. 

Pada 3 Februari lalu, Ahmad Hisham yang juga bekas Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn. Bhd. didakwa atas dua pertuduhan iaitu memberi keterangan bercanggah di mahkamah dengan pernyataan  kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 2 November 2022.

Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika perbicaraan melibatkan Mohd. Azhar Che Mat Dali di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 Mei dan 9 Jun 2023.

Sementara itu, Zainudin yang juga  bekas Pengarah Syarikat Ikaira Resources dan adik kepada Ahmad Hisham didakwa atas satu pertuduhan melakukan perbuatan serupa dalam perbicaraan sama pada 21 Mac dan 7 April 2023.

Pada 15 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Mohd. Azhar daripada tujuh pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM6.48 juta daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di kementerian itu. 

Semasa merayu terhadap hukuman tersebut, peguam bela Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon supaya kedua-dua anak guamnya dikenakan hukuman denda yang rendah atas alasan mereka menanggung ahli keluarga. 

“Anak guam saya (Zainudin) kini bekerja sebagai penjaga sebuah stesen minyak dengan pendapatan RM2,500 sebulan dan menanggung dua anak. Pengakuannya hari ini menjimatkan masa semua pihak.

“Ahmad Hisham memohon denda rendah kerana sebahagian wang syarikatnya dilucut hak kepada SPRM selain perlu menanggung tiga orang anak. Kedua-dua tertuduh menanggung ibu yang sakit,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Farah Yasmin Salleh memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat supaya memberikan keterangan yang telus kepada SPRM dan mahkamah.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira tentang kesan dan akibat kesalahan dilakukan tertuduh yang mana perjalanan perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 terkesan disebabkan masa dan kos pihak-pihak,” kata Muhammad Asraf.  

Selepas menjatuhkan hukuman denda tersebut, turut memerintah Zainudin dipenjara 20 bulan, manakala Ahmad Hisham dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Kedua-dua tertuduh sudah membayar denda tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN