KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 10 dan 11 Jun ini bagi mendengar perbicaraan kes Inspektor Sheila terhadap pertuduhan mendatangkan kegusaran awam di sebuah pusat beli belah, tahun lalu.
Majistret Illi Marisqa Khalizan turut menetapkan 16 Mei ini bagi tarikh sebutan status representasi yang dikemukakan oleh Sheila selaku Orang Kena Saman (OKS) untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) masih menyemak representasi Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, untuk pertimbangan.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tarikh bicara ditetapkan sementara menunggu keputusan representasi.
Sementara itu, peguam M. Manoharan ketika ditemui wakil media di luar mahkamah memberitahu, jika keputusan representasi itu menyebelahi Sheila pada 16 Mei, perbicaraan tidak akan dijalankan pada kedua-dua tarikh berkenaan.
Peguam itu turut hairan mengapa AGC mengambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan kerana pihak pembelaan telah memasukkan semua butiran terperinci berkaitan pertuduhan yang disifatkan remeh.
“Pihak pendakwaan patut menggugurkan pertuduhan terhadap Sheila dan anak guam saya seharusnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” ujar beliau.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan mudarat awam dengan memarahi, membunyikan hon kereta dengan panjang atau lama serta menjerit di tempat kejadian sehingga mendatangkan kegusaran am terhadap seorang wanita berusia 29 tahun (ketika kejadian).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Aras B1, sebuah pusat beli-belah di Brickfields di sini pukul 5.26 petang pada 16 Jun 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 290 kanun sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM400, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










