KEB 2024: Miskin bandar hidup jauh lebih perit

KEB 2024: Miskin bandar hidup jauh lebih perit

AHMAD Zahid Hamidi ketika mendengar diskusi MADANI 2 bertajuk 'Mendepani Cabaran untuk Menoktahkan Kemiskinan Tegar' pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kehidupan penduduk berpendapatan rendah di kawasan bandar adalah jauh lebih sukar berbanding persepsi yang selama ini kononnya mereka mampu hidup senang.

Demikian pandangan aktivis sosial tempatan, Dr. Lin Mui Kiang ketika menjadi ahli panel Diskusi Madani 2 bersempena dengan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di sini hari ini yang berkata, kelompok itu mengalami kemiskinan akibat kos sara hidup tinggi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Penggalakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkata, ramai berhijrah dari luar bandar kerana menyangka konon mampu mengubah nasib diri tetapi apa yang berlaku, kehidupan mereka jadi miskin malahan jauh lebih perit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Slot itu yang bertemakan Mendepani Cabaran Menoktahkan Kemiskinan Tegar dihoskan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr. Zunika Mohamed.

Mengulas lanjut, Mui Kiang yang juga anggota Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia SDG mendedahkan pelbagai faktor penyumbang kepada isu miskin bandar.

Secara umum ujarnya, purata kos sara hidup bulanan di negara ini adalah RM9,000 untuk satu keluarga dengan empat orang, namun jika individu sahaja perlu ada gaji RM4,000.

Malangnya kata beliau, majoriti B40 di bandar berpendapatan kurang daripada itu malah ada menerima upah bawah kadar minimum ditetapkan kerajaan iaitu RM1,500 sebulan.

“Ironi mereka tidak mampu tingkat taraf hidup ekoran kurang kemahiran selain persaingan sengit dengan warga asing dan berdepan jenayah di kawasan berisiko tinggi,” tegasnya.

Situasi itu jelas Mui Kiang, mengakibatkan mereka hanya mampu berdiam diri kerana berpendapat suara kelompok tersebut tidak dipedulikan sesiapa pun termasuk kerajaan.

Di samping itu tambahnya, faktor berkenaan turut disebabkan mereka kurang maklumat mengenai banyak bantuan yang sebenarnya ada ditawarkan oleh pelbagai agensi awam.

Dapatan itu ujar beliau, diperoleh hasil tinjauan pasukannya meliputi 85 kawasan parlimen yang dilaksanakan dari 2020 sehingga tahun lepas bagi mengenal pasti asas isu tersebut.

Berdasarkan pemantauan itu, golongan miskin bandar didapati mengeluh amat susah bagi mencari pekerjaan terutama dari kalangan Orang Kurang Upaya, ibu tunggal dan pesara.

Sebahagian besar mereka jelas Mui Kiang, berpendidikan setakat sekolah menengah dan tiada kemahiran atau modal meskipun berminat untuk cuba membuka perniagaan kecil.

“Responden yang kami temui juga mengadu langsung tidak mampu sewa rumah walau kos rendah dan gagal temuduga kerja kerana tiada ‘kabel’ dengan orang dalam,” katanya.

Justeru ujarnya, ramai terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara kerana tarikan upah tinggi kerana berpendapat suasana persekitaran di Malaysia tidak berbaloi didiami.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik sekiranya pihak kerajaan prihatin ke atas nasib kelompok miskin bandar dan tidak meminggirkan golongan ini dengan banyak kerenah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini