Jual alat ganti telefon tiruan, 4 premis diserbu di Pulau Pinang

Jual alat ganti telefon tiruan, 4 premis diserbu di Pulau Pinang

SEPASUKAN anggota penguatkuasa memeriksa aksesori tiruan di premis di Bandar Perai Jaya, Butterworth, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kegiatan empat buah premis yang disyaki menjual barangan alat ganti dan aksesori telefon bimbit tiruan terbongkar selepas diserbu oleh sepasukan anggota penguatkuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, semalam.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, selain anggota penguatkuasa, serbuan yang dibuat di Bandar Perai Jaya di sini itu turut dijalankan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkenaan.

Menurut Jegan, hasil pemeriksaan lanjut di keempat-empat premis terbabit, pihaknya menemukan pelbagai barangan yang disyaki tiruan terdiri daripada alat ganti serta barangan aksesori telefon bimbit. 

“Sehubungan itu katanya, KPDN Pulau Pinang telah menyita sejumlah 2,938 unit alat ganti telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM58,896 dan 964 unit aksesori terdiri daripada pelbagai jenama antaranya Samsung, Xiaomi, Huawei dan Redmi berjumlah RM9,320.

“Jumlah sitaan bagi kesemua barangan membabitkan keempat-empat premis ini dianggarkan bernilai RM 68,216.

“Dalam serbuan yang sama, tiga lelaki dan seorang wanita tempatan yang mengaku sebagai penyelia premis berkenaan dan kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jegan menambah, sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan mengguna pakai cap dagangan berdaftar secara salah atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya pula, denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

“Sementara itu, bagi syarikat pula, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 15,000 bagi setiap barangan mengguna pakai cap dagangan berdaftar secara salah manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barangan,” ujar beliau.

“Justeru, KPDN ingin memberikan peringatan serta amaran keras kepada mana-mana pihak supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. 

“Aduan boleh disalurkan kepada KPDN dengan menghubungi Bilik Gerakan KPDN Pulau Pinang di talian 04-3840245 atau dibuat melalui portal e-aduan KPDN atau datang ke mana-mana pejabat KPDN berhampiran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN