Joe Flizzow sunyi lepas Too Phat berpisah, faham realiti dunia hiburan - Utusan Malaysia

Joe Flizzow sunyi lepas Too Phat berpisah, faham realiti dunia hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Sunyi,”

Demikian penyanyi rap, Joe Flizzow, menceritakan perasaan selepas perjalanan kariernya bersama kumpulan Too Phat terhenti pada tahun 2007.

Menerusi dokumentari ‘This Is Johan’, Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 45, perlu menyesuaikan diri meneruskan kerjaya muzik tanpa kehadiran Malique.

“Kamu nak tahu apa yang sunyi? Bila saya tahu realiti dunia hiburan selepas kita tidak lagi terkenal. Cara layanan dan pandangan orang terhadap kita sudah berbeza.

“Saya tidak kisah jika mereka mahu gunakan saya sebagai pemain industri, tapi saya masih seorang manusia. Apa yang menyedihkan ialah, orang-orang yang selama ini saya ingat seorang ‘kawan’ hanya ada untuk menggunakan saya,” katanya.

Joe ditemui Utusan Malaysia di sidang akhbar dokumentari autobiografi This Is Johan, di Kuala Lumpur, semalam.

Sudah 9 tahun membuat persembahan dan mencipta muzik bersama Malique, tipulah sekiranya Joe tidak terkenang sahabatnya itu.

“Kalau namanya duo, mestilah saya akan teringat seorang lagi. Sekarang saya pergi ke studio berbeza, bekerja dengan jurutera muzik berbeza.

“Jika saya tidak tahu nak buat apa, saya tiada ‘abang besar’ untuk bertanya. Semua ini membuatkan untuk cepat mendewasa,” katanya.

Sepanjang dokumentari, Mr President itu mengakui tidak mencari Malique untuk sebarang temu ramah kerana menghormati keputusan sahabatnya itu untuk bekerja di belakang tabir.

“Saya tidak menghubungi dia (Malique) sebab tahu tak ada gunanya pun, jawapan dia tetap sama.

“Saya hormati keputusan dia yang enggan lagi bersama Too Phat, jadi kenapa saya perlu merayu dia menjayakan dokumentari ini.

“Lagipun, ini bukan cerita dia walaupun dia sebahagian daripada itu. Ini kisah saya,” kata Joe.

Ditanya apakah yang ingin disampaikan kepada bekas rakan duonya itu sekiranya menonton dokumentari ini, Joe tersenyum.
“Saya harap awak (Malique) gembira. Sejujurnya, siapa yang masih menghidupkan nama Too Phat? Hanya saya.

“Saya tidak nampak keperluan untuk marah apabila dokumentari ini diterbitkan. Sekurang-kurangnya saya masih memikirkan Too Phat.

“Malah, saya tidak nampak orang lain boleh melakukan perkara sama,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, kumpulan rap terkenal Too Phat yang ditubuhkan Joe dan Malique mencipta fenomena di tanah air dan luar negara.

Bagaimanapun, masing-masing membawa haluan berbeza dan bergerak solo pada tahun 2007. Dokumentari ‘This Is Johan’ kini boleh ditonton menerusi platform Viu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN