GEORGE TOWN : Lembaga Tabung Haji (TH) serta mutawif umrah dan haji disaran supaya menjelaskan mengenai hukum mengucup atau mengusap Hajarul Aswad kepada para jemaah masing-masing sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perkara itu penting demi memastikan kesempurnaan ibadah yang dikerjakan di sana.
“Perlu diketahui bahawa hukum mengusap atau mengucup Hajarul Aswad itu hanyalah sunat sahaja.
”Ia bukan syarat sah tawaf untuk ibadat haji atau umrah. Selain itu, perbuatan ini juga bukan rukun haji atau umrah yang wajib ke atas seorang yang menunaikan ibadat haji atau umrah.
”Maka, adalah wajib ke atas mereka yang menunaikan ibadat haji atau umrah supaya memelihara kehormatan Baitullah serta tidak menyakiti mana-mana manusia di tempat suci itu,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai video seorang usahawan dan pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad yang berhimpit dalam kesesakan orang ramai di hadapan Kaabah bagi memastikan pasukannya berpeluang mencium Hajarul Aswad ketika mengerjakan umrah.
Video tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dengan rata-ratanya mempersoalkan kewajaran Hafiz berbuat demikian.
Menurut Wan Salim, sesiapa yang berpeluang mengusap Hajarul Aswad atau mengucupnya dengan mudah tanpa berhimpit-himpit dan tanpa menyakiti orang lain, maka, eloklah dia mengambil peluang itu dengan sebaiknya.
“Tetapi, jika tepaksa berhimpit-himpit dan tolak menolak antara sesama jemaah untuk mengusap atau mengucup batu tersebut, maka, adalah lebih baik tidak usah dilakukan. Sebaliknya, memadailah hanya berpada iaitu dengan memberikan isyarat dengan tangan ke arahnya sahaja (melambai),” katanya.
Tambahnya, sesetengah individu sebelum ini mungkin menyangka bahawa sesiapa yang tidak mengusap atau mengucup Hajarul Aswad akan mengurangkan pahala haji atau umrah mereka, namun, sangkaan sedemikian adalah tidak benar.
”Mengusap atau mengucup batu berkenaan adalah sunat dilakukan dalam keadaan lapang dan mudah dilakukan sahaja.
”Tetapi, jika berlaku kesesakan atau keadaan tolak menolak di situ maka yang lebih utama atau afdal adalah tidak melakukan amalan tersebut,” katanya.-UTUSAN










