Jangan salahkan Neelofa dan Nabil - Utusan Malaysia

Jangan salahkan Neelofa dan Nabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CIK Bunga ada juga dengar dan menonton semula bahan kandungan yang disedut daripada satu sesi atau program on air yang disiarkan secara langsung oleh sebuah stesen radio terkemuka baru-baru ini. 

Dalam program tersebut, Noor Neelofa telah dijemput sebagai tetamu undangan untuk sesi berkenaan yang berkonsepkan segmen curahan hati. Juruhebah yang bertugas ketika itu ialah Nabil Ahmad, Radin dan juga Pak Azad. 

Ada seorang pemanggil ini berkongsi mengenai kisah hidupnya yang trauma sejak kecil akibat ditinggalkan ibu yang tergamak kahwin lari dengan seorang lelaki walaupun jadi isteri kedua lelaki tersebut. 

Panjang juga kisahnya, tetapi dipendekkan cerita, Neelofa pun berikan nasihat supaya pemanggil itu tetap memaafkan kelakuan ibunya itu meskipun pahit untuk ditelan. 

Nasihat yang lebih kurang sama diutarakan oleh Nabil sekali gus membawa gelombang kemarahan ramai yang menganggap Neelofa dan Nabil seakan tidak empati terhadap si pemanggil. 

Bagi Cik Bunga, tidak baik salahkan Neelofa dan Nabil dalam hal ini sebab sebagai selebriti, semestinya nasihat terbaik yang boleh diberikan oleh mereka adalah yang baik-baik. 

Mana mungkin nak minta si pemanggil menjadi seorang yang lebih pendendam dan berkelakuan buruk? 

Jadi, Cik Bunga rasa apa yang dikatakan oleh Neelofa dan Nabil itu adalah satu nasihat yang terbaik ketika itu. 

Mustahil untuk mereka keluarkan kata-kata lain yang mungkin hanya akan mengeruhkan keadaan. 

Betul tak? Mereka pun figura awam. Kalau cakap atau nasihat yang bukan-bukan, lebih teruk lagi orang akan kecam dan tuduh mereka tak ada akal. 

Cik Bunga pun pelik juga dengan akal fikiran orang kita ini. Memanglah Neelofa dan Nabil tak lalui pengalaman macam trauma si pemanggil. 

Tetapi tidak adil juga untuk menghentam mereka apabila nasihat yang baik diutarakan dalam keadaan itu. Benda ini rasional. Jadi, apa yang orang kita nak ini sebenarnya? 

Supaya dua selebriti ini keluarkan kenyataan atau nasihat yang merepekkah? Kasihan pula Cik Bunga pada Neelofa dan Nabil. 

Tak pasal-pasal kena hentam kerana hal yang tak sepatutnya menjadi isu di bulan Ramadan begini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN