Jadikan tragedi rusuhan kaum sebagai pengajaran - MAIM

Jadikan tragedi rusuhan kaum sebagai pengajaran – MAIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tragedi rusuhan kaum yang berlaku sebelum ini di Malaysia perlu dijadikan sebagai pengajaran dan sentimen agama serta pekauman tidak lagi dijadikan permainan individu tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus berkata, insiden-insiden rusuhan yang berlaku di dalam negara dan luar negara akibat sentimen agama serta perkauman perlu diambil sebagai pengajaran.

Sehubungan itu, beliau berkata, MAIM akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap seorang individu yang membuat satu hantaran video jelik di media sosial dengan menghina Islam, Raja-Raja Melayu dan memainkan sentimen perkauman.

“Pengerusi MAIM di negeri-negeri seluruh negara telah dimaklumkan dan akan membuat laporan tersebut bermula hari ini.

“Pelaku hantaran biadap tersebut walaupun dipercayai berada di luar negara, namun menjadi tanggungjawab MAIM selaku badan bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk membuat laporan berkenaan sebagai salah satu usaha memelihara kesucian Islam dan melestari gerakan dakwah di negara ini,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka sebanyak 22 kertas siasatan dibuka terhadap pemilik akaun Facebook, Ganesparan Nadaraja berkaitan kesalahan menghina institusi diraja (3R), agama dan kaum (3R) dari 2017 hingga tahun ini. 

Ia berhubung video dimuat naik Ganesparan yang menghina agama Islam; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selain membuat tohmahan terhadap PDRM

Bagaimanapun, Ganesparan didapati tidak pernah pulang ke Malaysia sejak dikesan meninggalkan negara ini pada 2017.

PDRM turut pernah membuat permohonan notis merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Ganesparan, namun ia gagal dikeluarkan ekoran kesalahan membabitkan isu agama dan perkauman tidak tersenarai dalam Artikel 3, Interpol.

Hasanuddin berkata, individu tersebut perlu diberi hukuman yang setimpal supaya insiden sama tidak berulang.

“Dengan mencaci maki Nabi Muhammad, Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris), mufti-mufti, PDRM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, dia sewajarnya dikenakan hukuman bagi mengelak insiden ini berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×