Isteri terkilan tak sempat masak rendang buat suami berbuka

Isteri terkilan tak sempat masak rendang buat suami berbuka puasa

NORHASYIMA Mohd. Yatim bersama dua anaknya, Nur Aishah Natasha dan Muhammad Yusuff Danial memegang pakaian yang sering dipakai oleh Allahyarham Abd. Shukur Abdullah Suhaimin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: “Sehari sebelum kejadian, arwah suami ada minta tolong masakkan rendang untuk berbuka puasa tetapi saya tak dapat tunaikan sebab bahan tak cukup.”

Demikian luah Norhasyima Mohd. Yatim, 37, balu kepada Allahyarham Abd. Shukur Abdullah Suhaimin, 46, yang ditemukan meninggal dunia selepas membantu memadamkan kebakaran melibatkan rumahnya dan rumah pusaka keluarganya yang terletak bersebelahan di Felda Tersang 1, di sini awal pagi Ahad lalu.

Norhasyima berkata, sehingga kini dia masih terkilan kerana tidak dapat menunaikan hasrat arwah suaminya yang pergi secara mengejut akibat serangan jantung.

“Masa kejadian kami sekeluarga sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan orang ramai yang meminta keluar daripada rumah kerana api sedang marak membakar rumah pusaka yang terletak bersebelahan.

“Masa itu juga arwah suami bantu mengalihkan kenderaan dan menyelamatkan beberapa barangan penting daripada terbakar,” katanya di sini semalam.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, sejam selepas api berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba, ahli keluarga baharu menyedari ketiadaan arwah.

“Ahli keluarga bersama penduduk kampung mula mencari di sekitar rumah sebelum menemukan arwah tidak sedarkan diri di belakang kediaman kami. Sebaik disahkan arwah sudah meninggal dunia, saya seperti tidak percaya malah sehingga kini saya masih terkejut dengan pemergiannya yang disifatkan secara tiba-tiba,” ujarnya.

Norhasyima berkata, arwah suaminya juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara namun menolak dibelikan pakaian baharu untuk dipakai di pagi raya.

“Arwah suami ada bagi duit untuk beli baju raya saya dan anak-anak. Apabila saya cakap hendak belikan sekali untuknya, arwah tidak mahu dan cakap akan beli kemudian.

“Itulah sifat arwah yang baik dan sentiasa mengutamakan keluarga. Sebelum ini pun arwah tidak jemu berulang-alik setiap minggu untuk menjenguk saya dan anak di sini (Felda Tersang) sebab dia bekerja kilang di Shah Alam, Selangor,” jelasnya.

Tambah Norhasyima, selepas ini dia akan berusaha sebaik mungkin bagi membesarkan dua anaknya, Nur Aishah Natasha, 17, dan Muhammad Yusuff Danial, 12, serta memberikan pembelajaran terbaik buat mereka.

“Saya tidak boleh bekerja kerana kurang sihat, tambahan pula saya sudah menjalani pembedahan membuang rahim akibat ketumbuhan fibroid tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh. Selepas pemergian suami, saya bagai hilang tempat bergantung. Kini emak, ayah dan ahli keluarga menjadi penguat semangat untuk saya teruskan hidup,” katanya sebak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank Norhasyima, 2250024267 (Bank Rakyat) atau menghubunginya di talian 011-26901033.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×