LAMBAKAN iklan Hari Raya Aildilfitri di televisyen (TV), radio, Internet dan media sosial membuktikan peranan bahan hiburan ini masih sama pentingnya dengan lagu raya dalam menghidupkan lagi suasana perayaan.
Seperti lagu raya, iklan raya juga berdepan evolusi dari segi penghasilan, penceritaan dan penyampaian.
Kandungan ini juga menjadi pilihan syarikat dan jenama untuk berkongsi keterujaan dan keseronokan sambutan Hari Raya Aildilfitri yang tanpa gagal disambut meriah, saban tahun.

Namun, sejauh manakah sebuah iklan raya itu benar-benar memberi impak, menghidupkan lagi suasana dan berjaya menyampaikan mesejnya kepada masyarakat?
Adakah iklan raya hari ini bersifat sekadar ada? Atau dibuat dengan penuh teliti dan sehabis baik untuk mencapai objektifnya.
Tiga pemain industri, Fatimah Abu Bakar, Nik Amir Mustapha dan Datuk Fauziah Nawi diketengahkan kali ini untuk berkongsi pandangan tentang resipi kejayaan iklan Hari Raya Aidilfitri.

SENTIMEN EMOSI DAN PENCERITAAN
PELAKON, Fatimah Abu Bakar, 69, berpandangan penceritaan iklan Hari Raya Aidilfitri memerlukan sentimen emosi bagi membuatkan ia dekat dengan penonton.
“Kebanyakan penceritaan dalam iklan Hari Raya Aidilfitri bermain sentimen emosi, membuatkannya diterima baik penonton segenap lapisan umur.
“Contoh perasaan sedih ibu dan ayah apabila dibiarkan berhari raya sendirian tanpa kepulangan anak-anak ke kampung atau kegembiraan apabila keluarga dan saudara berkumpul bersama-sama.
“Emosi-emosi ini dekat dengan audiens dan menimbulkan perasaan sentimental sekaligus membuatkan iklan Hari Raya Aidilfitri itu menjadi dan berimpak tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, Fatimah, yang lebih cenderung memilih iklan Hari Raya Aidilfitri yang menyedihkan juga tidak menolak pentingnya jalan cerita yang baik agar iklan yang dihasilkan tidak klise dan membosankan.
“Antara iklan yang memberi impak kepada diri sendiri dan orang sekeliling adalah yang saya lakonkan sendiri iaitu iklan raya saji bertajuk Mangkuk Tingkat Mak Teh diterbitkan dua tahun lepas.
“Jalan cerita yang diambil daripada kisah benar membuatkan ramai penonton terkesan dengan iklan tersebut.
“Hasrat saya untuk berjumpa individu sebenar yang wataknya saya mainkan dalam iklan itu tidak kesampaian kerana dia meninggal dunia tidak lama selepas tempoh kawalan pergerakan yang dilaksanakan dahulu,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Fatimah juga menyarankan agar jalan cerita yang menggembirakan turut diperbanyakkan menerusi penghasilan iklan Hari Raya Aidilfitri.
“Cerita-cerita humor, lawak jenaka ini juga dekat dengan masyarakat kita.
“Sebab itu, iklan raya dihasilkan arwah Yasmin Ahmad kebanyakannya menjadi kerana adanya elemen humor dan harapan dalam garapannya,” ujarnya

FAHAMI BUDAYA DAN MASYARAKAT
Pengarah, Nik Amir Mustapha pula berpendapat iklan Hari Raya Aidilfitri penting untuk menambah suasana dan kemeriahan sambutan perayaan itu.
Justeru katanya, iklan-iklan tersebut perlu dihasilkan dengan kefahaman yang mendalam tentang masyarakat yang meraikannya.
“Pendek kata, penulis cerita, penerbit dan pengarah iklan itu kena fahami dengan sebaiknya masyarakat dan budaya kita.
“Kena teroka cerita dan pengalaman, contoh dari keluarga, individu dan masyarakat. Itu resipi kemenjadian sebuah iklan Hari Raya Aidilfitri,” kongsinya.
Pada masa yang sama, pengarah filem Imaginur itu juga berpandangan pemilihan jalan cerita juga penting untuk menghasilkan sebuah iklan Hari Raya Aidilfitri yang bagus.
“Pembikin kena kedepankan cerita yang bagus, yang ada nilai untuk masyarakat.
“Elak terlalu ketara menjual produk. Selarikan jalan cerita dengan jenama. Itu penting sebab iklan raya ini sangat mustahak menghidupkan suasana,” jelasnya.

GARAPAN DAN LAKONAN SELAMATKAN CERITA
PELAKON, Datuk Fauziah Nawi tidak menolak pentingnya garapan dan lakonan untuk menghidupkan sebuah iklan raya yang bagus. Katanya, penceritaan, walau berulang dan klise sekalipun, tetap menarik dan menghiburkan sekiranya digarap baik pengarah.
“Formula iklan raya kebanyakannya sama. Bagi saya, tak kisahlah ceritanya bagaimana, asalkan mengingatkan kita kepada masa lalu dan menyentuh hati setiap penonton.
“Contoh cerita yang mengingatkan kepada kenakalan kita terhadap ibu bapa ketika kita masih kanak-kanak.
“Cerita klise tak mengapa. Yang penting cara pengarah angkat cerita yang disampaikan,” kongsinya.
Kata Fauziah, banyak iklan raya yang dihasilkan dengan baik namun impaknya kepada masyarakat berbeza-beza.
“Contoh iklan raya bertajuk Panorama Abah Den lakonan Datuk Ahmad Termimi Sarigar dan Iedil Putra.
“Iklan tersebut pada saya berjaya memberi kefahaman tentang perasaan ibu ayah kita ketika mereka lanjut usia. Perasaan itu kita hanya faham bila kita juga bergelar warga emas,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fauziah juga menekankan lakonan yang baik memberi kesan kepada penonton iklan raya.
Katanya, aspek tersebut tidak boleh diabaikan, justeru biarlah pelakon benar-benar berbakat dipilih menghidupkan sebuah naskhah iklan raya.
“Saya memuji barisan pelakon iklan raya bertajuk Conteng yang berjaya menghidupkan naskhah tersebut menjadi luar biasa menerusi lakonan mereka.
“Lakonan menyelamatkan iklan tersebut. Ceritanya klise, tentang anak lari dari rumah kerana tindakan bapa menghalang cita-cita menjadi pelukis.
“Kita dapat saksikan betapa penting lakonan untuk menghidupkan naskhah. Dan kerana itu pemilihan pelakon juga penting,” kongsinya.










