PETALING JAYA: Sebanyak 11 lokasi melibatkan pantai, air terjun, tasik dan sungai dikenal pasti sebagai ‘lubuk maut’ kerana kerap berlaku insiden mati lemas sepanjang tahun lalu.
Lokasi dikategori sebagai ‘lubuk maut’ ditentukan berdasarkan kekerapan kematian melebihi lima mangsa sepanjang tempoh berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, Sungai Teladas, Kampung Air Putih, Cheneh, Kemaman disenarai kawasan air terjun atau jeram paling berisiko selepas merekodkan sembilan kematian tahun lalu.
Menurut beliau, turut disenarai berisiko ialah Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi; Kampung Shukor, Lubuk Kain, Dungun.
Bagi pantai, Jalan Pantai Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan; Jeti Star Cruise Pulau Indah, Selangor; Pantai Teluk Batik, Lumut dan Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedeli, Johor.
“Tasik atau lombong pula, kawasan berisiko tinggi terletak di Sungai Pertang, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan Flat Kondominium Seri Intan, Jalan Tasik, Bandar Seri Ala, Pasir Gudang.
“Lokasi sungai berisiko tinggi adalah di Jeti Feri Tanjung Kunyit Sungai Maaw, Sibu, Sarawak dengan dua kematian dicatatkan di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, sebanyak 1,554 panggilan menyelamat dan khidmat kemanusian mangsa lemas diterima jabatan itu dalam tempoh enam tahun sejak 2019 sehingga Januari lalu.
Nor Hisham berkata, daripada jumlah itu, 1,324 mangsa disahkan maut manakala cedera (34 mangsa) dan terselamat (392 mangsa).
“Peringkat umur tertinggi menjadi mangsa adalah mereka berusia tujuh sehingga 19 tahun iaitu sebanyak 25 peratus. Ia diikuti mangsa berusia 20 sehingga 39 tahun (19 peratus), 40 sehingga 59 tahun (lapan peratus) dan 60 tahun ke atas (lima peratus),” jelas beliau.

Kata Nor Hisham, pelbagai cabaran dihadapi petugas JBPM dalam operasi dan menyelamat mangsa lemas termasuk kejadian kepala air menyebabkan mangsa berkemungkinan ditenggelamkan ke dalam lumpur atau bergumpal dengan sampah sarap serta pokok yang dihanyutkan air.
Jelas beliau, ada juga kes dilaporkan, mangsa dihanyutkan jauh sehingga ke muara sungai selain berada di kedalaman air dan pusaran air selain rupa bentuk muka bumi serta jauh dari kawasan penempatan.
“Faktor utama kes lemas berlaku selain tidak pandai berenang iaitu terjadi kepala air tanpa disedari oleh mangsa.
“Ada juga mangsa tergelincir dan cedera terkena batu selain berenang di kawasan pusaran air sehingga berlaku kekejangan otot kepada mangsa. Ada juga tidak pandai berenang tetapi mandi di kawasan air yang dalam,” ujarnya. – UTUSAN









