SHAH ALAM: Kedua-dua pasangan pengasas KK Mart dan tiga beranak dari syarikat pengedar mengaku tidak bersalah dekat Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan berkaitan kesalahan penjualan stoking bercetak kalimah ‘Allah’ dua minggu lalu.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan demikian di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka dalam Bahasa Inggeris.
Tertuduh adalah Datuk Seri Chai Kee Kan dan isteri Datin Seri Loh Siew Mui serta tiga dari syarikat pengedar, Xin Jian Chang Sdn Bhd iaitu Goh Li Huay (Pengarah), Soh Hui San (Pengarah) dan Soh Chin Huat (Pengarah).
Turut dituduh adalah kedua-dua syarikat iaitu KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) dan pengedar yang masing-masing diwakili Kee Kan dan Chin Huat.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa mengganggu dan melukakan perasaan terhadap kepercayaan agama orang lain dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah pada rak jualan yang kemudian dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan KK Mart Bandar Sunway, Subang Jaya pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu.
Justeru mereka dituduh di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara, Li Huay, 62; Hui San, 36; dan Chin Huat, 61, pula dituduh bersubahat di bawah Seksyen 109 kanun sama yang dibacakan secara bersekali dalam pertuduhan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam mewakili Kee Kan, 57, dan Siew Mui, 53, iaitu Datuk Rajpal Singh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan sebanyak RM5,000 apabila pertuduhan yang dihadapi mereka boleh diikat jamin.
“Anak guam saya adalah pegawai utama dalam syarikat yang mempunyai 5,000 pekerja dekat 810 cawangan seluruh negara termasuk di Nepal, India dan Brunei. Beliau juga aktif dalam pergerakan organisasi bukan kerajaan serta seorang yang dermawan.
“Jadi, saya percaya tiada sebab untuk beliau dan isteri untuk tidak hadir ke mahkamah (sepanjang prosiding perbicaraan),” katanya.
Peguam mewakili Xin Jian Chang dan tiga beranak yang memiliki syarikat tersebut, Lau Yi Liong turut mengemukakan mitigasi dan memohon jumlah jaminan sama.
Namun, kemudian hakim membenarkan tawaran jaminan daripada pihak pendakwaan iaitu RM10,000 bagi setiap individu dan tarikh sebutan semula kes pada 29 April depan bagi pengurusan dan penyerahan dokumen.
Dalam prosiding tersebut Kee Kan dan Siew Mui diwakili Rajpal yang turut dibantu Datuk David Gurupatham dan dibantu oleh Datuk R.S Sodhi, Datuk Theng Book serta James Ee.
Pasukan pendakwaan diketuai Masri dan dibantu oleh Khairul Azreem Mamat, Ku Hayati Ku Haron, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Mohd. Izhar. – UTUSAN










