Hidupkan kembali Lake Chini Resort

Hidupkan kembali Lake Chini Resort

LAKE Chini Resort perlu dipulihkan kembali sejak ia ditutup pada 2019. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Penduduk di Chini di sini berharap kerajaan segera menghidupkan kembali Lake Chini Resort yang terbiar dan boleh diumpamakan seperti resort berhantu sejak lokasi tersebut ditutup pada 2019.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, resort yang dahulunya cukup popular dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara serta boleh ditempah secara dalam talian dipenuhi sampah sarap serta rumput panjang sehingga menyakitkan mata memandang.

Kira-kira 16 jenis bilik yang terdapat di resort itu juga teruk seolah-olah dipecah masuk berdasarkan keadaan di dalamnya yang mengalami kerosakan.

Difahamkan, sejak terbiar, resort tiga bintang tersebut menjadi sarang penagih dadah dan perbuatan tidak bermoral khusus membabitkan remaja di tanah rancangan Felda berhampiran resort berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Chini, Abdul Ghafar Abdul Hamid, 70, berkata, selain Tasik Chini itu sendiri, Lake Chini Resort juga perlu segera dipulihkan kerajaan.

“Semasa zaman kegemilangannya, resort ini cukup meriah dengan kehadiran pelancong terutama dari luar negara sehingga memberi limpahan rezeki kepada penduduk setempat.

“Sayang jika resort ini terus terbiar begitu sahaja. Baik pulih dan hidupkan kembali resort ini. Cafe dan restoran di resort ini dahulu cukup meriah dengan dihadiri penduduk setempat di situ termasuk masyarakat Orang Asli,” katanya di sini semalam.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan bahawa, lima tahun lagi iaitu pada 2029, Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) akan dinilai sekali lagi oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menentukan sama ada badan dunia itu akan terus mengiktiraf tasik semula jadi kedua terbesar selepas Tasik Bera di Malaysia itu sebagai Tapak Rizab Biosfera untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Selepas menerima pengiktirafan itu pada 2009, penilaian UNESCO sepatutnya dibuat pada 2019, namun keputusan pengekalan status tersebut hanya diumumkan pada 2022 apabila ekosistem semula jadi Tasik Chini musnah disebabkan kegiatan perlombo­ngan dan pembalakan yang berleluasa di situ.

Kelmarin, Profesor Kehormat Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal (ALAF) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Seri Mushrifah Idris berkata, kejayaan Projek Eden di Cornwall, United Kingdom (UK) boleh dijadikan contoh bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih Tasik Chini yang mengalami kemusnahan ekosistem kesan aktiviti pembalakan dan perlombongan.

Seorang lagi penduduk di Chini, Ahmad Mat Amin, 78, pula berharap pihak wajib mengambil alih untuk menguruskan Lake Chini Resort atau ditawarkan kepada mana-mana pihak yang mampu memulihkan resort berkenaan.

“Sebagai penduduk, saya harap resort ini dan Tasik Chini segera pulih serta kembali menjadi destinasi pelancongan terkenal seperti yang pernah dilakar sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN