BALING: Luluh hati sepasang suami isteri apabila doktor menjangkakan anak bongsu mereka hanya mampu hidup selama 10 bulan akibat penyakit sindrom Edward dihidapi sejak dalam kandungan.
Safidi Shaari, 46, dan Siti Aishah Md. Isa, 36, kini hanya mampu berdoa serta mengharapkan keajaiban Allah SWT terhadap Nur Aisya Sumayyah yang kini sudah berusia lapan bulan.
“Kami dimaklumkan penyakit ini berlaku terhadap satu daripada 2,000 kanak-kanak dan jangka hayat mereka tidak mampu bertahan lama seperti yang diramalkan terhadap Nur Aisya.
“Anak saya juga cacat kekal di kedua-dua tangannya bermula daripada pergelangan hingga ke jari dan dia memiliki lapan jari sahaja tanpa ibu jari,” kata Safidi ketika ditemui di Kampung Bendang Padang, Kupang, semalam.
Menurutnya, organ dalaman anak bongsu daripada tiga beradik itu juga bermasalah kerana paru-parunya terhimpit dengan hati yang menyebabkan Nur Aisya akan cepat letih.
“Dia ditidurkan mengiring supaya lebih selesa dan hanya minum susu tiga jam sekali melalui tiub getah yang dimasukkan terus ke perutnya. Pernah beberapa kali kami ke hospital pada tengah malam untuk memasang semula tiub yang tercabut.
“Baru-baru ini Nur Aisya turut dimasukkan ke hospital selama seminggu kerana jangkitan kuman di paru-paru yang memerlukan mesin penyedut kahak untuk membuang lendir,” katanya.
Safidi hanya bekerja dengan pendapatan RM800 untuk menyara mereka sekeluarga termasuk dua anak yang bersekolah rendah dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 hanya untuk susu dan lampin pakai buang.
Tambahnya, anak sulung mereka sebelum ini meninggal dunia lapan jam selepas dilahirkan kerana menghidap penyakit sindrom patau dan kini mereka mengharapkan Nur Aisya dapat kembali sihat dan cergas seperti bayi lain.
Orang ramai yang ingin membantu bayi malang itu boleh menghubungi Safidi di talian 019-5602010 atau sumbangan melalui akaun Maybank 102046006229. – UTUSAN










