Hasrat raih hasil tak kesampaian, 40 pokok harumanis hangus

Hasrat raih hasil tak kesampaian, 40 pokok harumanis hangus

harumanis
AHMAD Mahfudz Osman meninjau pokok harumanis di kebunnya yang musnah terbakar dipercayai akibat cuaca panas di Kampung Semadong, Beseri, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Hasrat seorang pengusaha harumanis untuk menuai hasil musim ini tidak kesampaian apabila 40 pokok mempelam yang sudah mengeluarkan buah di kebunnya di Kampung Semadong, Beseri di sini, hangus terbakar.

Punca kebakaran pokok itu tidak diketahui namun dipercayai akibat cuaca panas melampau yang bermula daripada kebakaran hutan berhampiran kebun tersebut.

Berikutan itu, pengusaha berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM100,000 melibatkan kemusnahan pokok, sistem pengairan dan tanaman lain di kebun tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad Mahfudz Othman, 52, berkata, dia mengusahakan tanaman harumanis berkenaan sejak tujuh tahun lalu dan sudah bersedia meraih hasil dijadual pertengahan bulan depan.

Katanya, ketika kebakaran ter­sebut, dia tidak berada di kebun kerana menghadiri kenduri sebelum dimaklumkan oleh rakan­nya daripada kebun berhampi­ran mengenai kejadian itu.

Ujarnya, ketika dia tiba di ke­bun selepas itu, api sudah ma­rak memusnahkan po­kok dan buah harumanis ber­kenaan.

“Sebelum ini, hutan kira-kira 100 meter dari kebun juga terbakar dipercayai akibat cuaca panas melampau ketika ini. Cuaca ketika ini cukup panas khusus­nya di kawasan ini yang mence­cah sehingga 38 darjah celsius.

“Sepatutnya sudah boleh tuai namun rezeki tidak memihak kepada saya apabila pokok mem­pelam harumanis yang di­usahakan selama ini musnah dalam kebakaran,” katanya.

Tambah Irfan, musim lepas hasil harumanis di kebunnya itu tidak banyak disebabkan hujan manakala tahun ini pula musnah akibat kebakaran berikutan cuaca panas.

“Saya pun tidak tahu punca kebakaran, mungkin disebabkan cuaca panas ketika ini ke­rana hutan berhampiran juga terbakar. Saya reda dengan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad menasihatkan orang ramai mengelak kebakaran terbuka dalam keadaan cuaca panas melampau ketika ini.

“Kebakaran banyak ketika ini, tanaman-tanaman harumanis juga ada kes terbakar. Petani kena sentiasa berjaga-jaga dalam musim panas ini,” katanya.

Perlis kini berada pada tahap berjaga-jaga susulan suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Malah, Perlis juga sudah mencatatkan bilangan hari tanpa hujan di Stesen Meteorologi Pertanian Chuping selama 43 hari dengan suhu boleh mencecah sehingga 38 darjah celsius. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN