PETALING JAYA: Kontraktor kelas G1 didakwa tidak dapat melaksanakan projek Rumah Mampu Milik susulan kenaikan harga bahan binaan yang berlaku secara mendadak sejak kebelakangan ini.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Dr. Mohamed Fadzill Hassan berkata, ini kerana projek berkenaan yang berharga RM65,000 dianggarkan berjumlah RM85,000 ketika ini.
Katanya, ia disebabkan kenaikan harga besi, simen, konkrit dan harga buruh.
“Oleh itu, satu ketetapan oleh pihak Kerajaan Madani perlu diambil segera dalam menangani isu kenaikan harga bahan binaan ini.
“PKMM mahukan jalan penyelesaian yang menyeluruh dan kajian terperinci perlu dilaksanakan dengan segera dalam menangani kesan dan impak kenaikan harga besi, simen, konkrit dan bahan asas binaan yang lain.
“Jadual Kadar Kerja pula perlulah disemak sekurang-kurangnya tiga bulan sekali untuk memastikan kadar harga yang dikeluarkan bersesuaian dengan kadar harga semasa di pasaran,” katanya dalam kenyataan.
Persatuan Pemaju Hartanah Malaysia (REHDA) dilapor menjangkakan kenaikan harga bahan binaan sehingga 15 peratus selepas perayaan Aidilfitri nanti.
Dalam pada itu, Mohamed Fadzill berkata, kenaikan itu sangat menekan kontraktor bumiputera seluruh negara kerana dikhuatiri menjejaskan projek sedia ada selepas mereka tidak mampu menanggung kerugian disebabkan kenaikan berkenaan.
“Kontraktor terpaksa menanggung kenaikan kos pembinaan projek yang sedang dilaksanakan dan berkemungkinan projek akan terbengkalai memandangkan harga projek tidak lagi relevan dengan harga bahan binaan semasa.
“Kontraktor kecil sangat terkesan dengan masalah kenaikan harga bahan binaan ini kerana jumlah kuantiti yang dibeli mempengaruhi harga jualan,” katanya. – UTUSAN










