PUTRAJAYA: Datuk Hanipah Farikullah mengetuai majlis angkat sumpah dan taat setia lima hakim baharu di hadapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Majlis yang berlangsung di Istana Kehakiman di sini menyaksikan dua Hakim Mahkamah Rayuan menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan berkuat kuasa hari ini.
Sementara tiga Pesuruhjaya Kehakiman mengangkat sumpah jawatan mereka masing-masing sebagai Hakim Mahkamah Tinggi yang baharu, juga pada hari sama.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Hanipah yang menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan dilahirkan pada 1959 di Besut, Terengganu dan berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang Kepujian Universiti Malaya.
Selepas tamat pengajian pada 1983, beliau memulakan kerjaya sebagai Peguam Persekutuan di Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara selama tempoh tiga tahun.
Beliau kemudian mendapat Sarjana Undang-Undang Universiti Abersywth di Wales, Britain pada 1991 sebelum berkhidmat dalam pelbagai jawatan perundangan.
Antaranya sebagai Penasihat Undang-Undang Kementerian Kesihatan, Setiausaha Perbadanan Putrajaya dan Ketua Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara.
Mulai 2010, Hanipah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Kuala Lumpur sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di beberapa mahkamah di ibu negara dan Shah Alam.
Jawatan terakhir sebelum beliau mengangkat sumpah pula sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan ialah Hakim Mahkamah Rayuan di Mahkamah Rayuan Malaysia sejak 2018.
Seorang lagi yang dilantik ke jawatan berkenaan ialah Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kanan di Pusat Narkotik Singapura pada 1984.
Graduan Sarjana Muda Sastera Ekonomi, Sains Politik dan Falsafah di Universiti Nasional Singapura itu pernah menyambung pengajian dalam undang-undang di Wales, Britain.
Beliau berpengalaman luas sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan Hakim Mahkamah Tinggi di pelbagai tempat sebelum menjadi Hakim Mahkamah Rayuan sejak 2019 lalu.
Tiga hakim Mahkamah Tinggi yang baharu dilantik serta mengangkat sumpah jawatan masing-masing ialah Su Tiang Joo, Alexander Siew How Wai dan Amelati Anak Parnell. – UTUSAN










