Hajat warga Singapura bersahur di Pagoh tidak tercapai

Hajat warga Singapura bersahur di Pagoh tidak tercapai

KEADAAN motosikal berkuasa tinggi warga Singapura selepas dirempuh lori dalam kejadian di Kilometer 111.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Hentian Sebelah Yong Peng pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Hasrat lapan warga negara Singapura untuk bersahur di Pagoh tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut selepas dirempuh sebuah lori ketika berhenti di lorong kecemasan. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi tadi di Kilometer 111.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Hentian Sebelah Yong Peng. 

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lapan rakyat Singapura itu berkonvoi menaiki motosikal berkuasa tinggi dari Johor Bahru ke Pagoh untuk bersahur. 

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, tujuh orang penunggang itu terpaksa berhenti di lorong kecemasan selepas mendapati salah seorang rakan mereka mengalami masalah tayar bocor di Hentian Sebelah Yong Peng. 

“Ketika menunggu, secara tiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah sama dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun hilang kawalan sebelum termasuk ke lorong kecemasan dan merempuh mangsa,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Ismail, akibat rempuhan itu, dua daripada penunggang motosikal berkenaan maut di lokasi kejadian manakala empat lagi parah dan seorang lagi terselamat. 

Kata beliau, mayat mangsa yang kedua-duanya berusia 26 tahun dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat manakala empat mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar. 

“Pemandu serta kelindan lori yang berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan namun telah ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini hingga 25 Mac bagi membantu siasatan. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×