KUALA TERENGGANU: Seorang guru dan rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam bagi tuduhan memperdagang wanita bagi eksploitasi seks, dua minggu lalu.
Guru tersebut, Mohd. Hasfyanizam Mansor, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri, semalam.
Namun, rakannya, Mohamad Fazley Jaafar, 29, mengaku salah.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Hasfyanizam dan Mohamad Fazley didakwa memperdagang seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks di sebuah apartment di bandar raya ini kira-kira pukul 2.35 pagi pada 11 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.
Mahkamah menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kes Mohd. Hasfyanizam dan bacaan fakta kes serta jatuh hukum untuk Mohamad Fazley.
Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin. – UTUSAN










